"Rasa Kagum Yang Muncul Apabila Sampai..." - Perkongsian Ustaz Syed Abdul Kadir Solat Jenazah Allahyarham Jefri Adzman

Badrul Hashim
Jun 13, 2019 02:06 MYT
Petang semalam, adik kepada Dato' Afdlin Shauki, Allahyarham Jefri Adzman meninggal dunia pada pukul 5.14 petang. Berita sedih itu disampaikan sendiri oleh Afdlin di Instagram beliau.
Ustaz Syed Abdul Kadir yang mengetuai tahlil dan solat jenazah turut berkongsi kisah malam tadi pada satu entri di Instagramnya.
"Rasa kagum yang muncul apabila sampai ke rumah jenazah?
"Ya. Ini yang saya rasakan tadi. Apabila sampai, ratusan manusia di luar rumah hingga ke lorong2 di luar. Jenazah belum tiba. Saya berpusing2 mencari tempat utk meletak kereta. Terlalu padat," tulis Syed Kadir.
Menurut Ustaz Syed Kadir, kebiasaannya ramai yang hadir ke solat jenazah, tetapi untuk begitu ramai berkumpul pukul 12:30 malam sedangkan jenazah belum tiba membuatkan dia kagum.
"Saya berbual dengan pembantu Dato' Afdlin. Beliau memberitahu almarhum seorg yang sangat baik.
"Yang hadir adalah kawan2nya sejak kecil hingga skrg dan kawan2 Afdlin. Beliau kata, kawan Abg Afdlin, kawannyalah. Persoalan mula terjawab," tulis Syed Kadir lagi.
Tambah Syed Kadir lagi, apabila jenazah tiba, Allahyarham diletak di tempat yang sama jenazah ibu Allahyarham diletakkan lapan bulan lalu.
"Afdlin duduk berteleku juga di tempat yang sama. Saya sebak kerana saya ada juga pada malam tersebut.
Tulis Syed Kadir lagi, sebaik selesai mengetuai tahlil dan solat jenazah kepada Allahyarham, dia sempat berbual dengan Afdlin.
Menurut Afdlin, adiknya itu merupakan pendamai atau 'peacemaker' di dalam keluarga dan sangat rapat dengan arwah ibu mereka. Malah kelebihan Allahyarham yang tiada tandingnya adalah hubungan silaturrahim.
Menurut Syed Kadir lagi, Afdlin turut bercerita bagaimana Allahyarham mengambil telefon almarhumah ibu mereka dan menghubungi satu persatu kawan-kawan almarhumah untuk bertanya khabar.
"Saya katakan kepada Abg Afdlin, itulah amalan ahli syurga dan itulah cara berbakti kepada ibu yang telah tiada.
"Dalam perjalanan pulang, teringat hadis yang saya sebutkan selepas solat jenazah tadi, pabila jenazah yg lalu di hadapan Rasulullah dipuji2 oleh para sahabat. Maka kata Baginda, wajiblah. Wajib apa?tanya sahabat. Wajiblah syurga buatnya jawab Rasulullah," tulis Syed Kadir lagi.
Dalam satu entri lain di Instagram Afdlin Shauki, beliau turut memberitahu pengebumian jenazah berlangsung pagi ini (Khamis) dan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor.
Moga Allah ampunkan dan rahmati Allahyarham Jefri Adzman Aksan.
Kredit Gambar: Instagram
#Afdlin Shauki #Ustaz Syed Abdul Kadir