"Rasa Macam Hampir Mati Apabila ..." - Dikejarkan Ke Hospital Pukul 3 Pagi, Farah Asyikin Alami Slip Disc

Amri Hassan
Januari 2, 2019 04:40 MYT
Bintang Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Farah Asyikin telah dikejarkan ke hospital seawal 3 pagi beberapa hari lalu akibat masalah slip disc.
Berkongsi berita tersebut, kata Farah, dua bahagian tulang belakangnya mengalami masalah terbabit selain dua lagi masalah bulging disc di bahagian belakang lehernya.
"Hari terakhir pada Disember 2018, Saya telah dikejarkan ke hospital pukul 3 pagi, sakitnya tak tertahan!
"Sebelum ini sudah beberapa hari menahan sakit tetapi saya ambil remeh saja dan mahu buat macam-macam perkara.
"Hasil imbasan MRI saya terkejut! Saya alami dua slip disc (D6 & D7) dan dua bulging disc (D4 & D5).
"Tergamam saya bagaimanalah saya boleh harungi semuanya selama ini," tulis Farah berkongsi menerusi Instagram.
Tambah pelantun lagu Kembali Di Sisi Mu itu, kebarangkalian masalah tulang belakangnya itu diwarisi daripada bapanya yang pernah berdepan masalah serupa sebelum ini.
"Ini mungkin diwarisi daripada bapa saya, malah kakak saya pun pernah mengalami masalah slip disc," ujarnya.
Berdepan situasi mencemaskan ketika menerima rawatan di unit kecemasan, Farah memberitahu dia mengalami alahan teruk terhadap painkiller.
"Tubuh saya tidak boleh menerima ubat penahan sakit yang kuat sebab saya alergik dan rasa macam hampir mati apabila diberi ubat tersebut ketika dalam emergency room.
"Doktor saya merawat saya dengan suntikan steroid untuk menguatkan otot yang terjejas, tetapi ia tidak meredakan kesakitan saya.
"Kini saya masih menerima rawatan fisioterapi dan mengambil beberapa jenis vitamin.
"Hari ini saya akan dirujuk kepada pakar bedah neuro namun saya masih akan mempertimbangkan pendapat lain sebelum melakukan rawatan pembedahan," tambahnya.
Farah turut terkilan apabila anak tunggalnya, Owais tidak dapat memulakan sesi persekolahan memandangkan kini berada di bawah jagaan ibunya sehingga Farah betul-betul pulih.
#Penyanyi #Penyanyi #Farah Asyikin #Slip Disc