“Rasa Macam Mak Ada Lagi, Bangun Pagi, Buat Air…” - Linda Rafar Rindu Arwah Ibu

Mya Amri
Januari 13, 2019 17:33 MYT
Pelakon Linda Rafar akui sedang berusaha untuk menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa ibunya, Allahyarhamah Rasimah Abdul Rahman yang meninggal dunia pada Jumaat.
Menerusi beberapa entri terbaru akaun Instagram (IG)nya jelas menunjukkan hari-hari yang berlalu tanpa kehadiran ibu tersayang ternyata amat sukar bagi Linda.
Linda yang berkongsi luahan rasa rindu terhadap ibunya itu memohon diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan harian.
“Allahuakbar… Bila semua dah balik Linda rasa sebak, sunyi dan rindu sangat kat mak... Terasa macam mak ada je lagi dalam rumah ni…
“Bangun pagi buat air dan minum dekat depan ni… Tengok progress dia makin sihat, happy sangat dan plan nak bawa dia tengok laut…
“Mak pun happy cakap nak pergi rehat tengok laut... Tapi sekarang Allah sayang mak dan ambil mak dulu, nak bagi mak rehat tengok syurga Firdaus InshaAllah... Ya Allah kuatkan aku,” tulisnya.
Linda juga turut berkongsi video ‘boomerang’ lambaian terakhir ibunya yang membuatkan peminat sebak.
“The last good bye. Tak semua boleh melalui fasa ini… Hanya Allah mampu memberi aku satu kekuatan untuk aku menempuh segala memori indah bersama ibuku Rasimah binti Abdul Rahman.
“Mak terlalu rapat dengan Linda... Segala masalah atau apa sahaja dia la tempat untuk Linda mengadu…
“Sekarang Allah dah ambil mak kembali kepadanya, Linda kena teruskan hidup ini walaupun susah sangat rasanya.
“Mak… Linda dah buat yang terbaik untuk mak... Moga Allah tempatkan mak di syurga yang paling indah. Gonna miss u mak... Allahuakbar!” coretnya.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen rata-rata peminatnya memberikan kata-kata semangat dan juga ucapan takziah buat Linda sekeluarga.
Terdahulu, difahamkan tangan kiri ibu Linda terpaksa dipotong akibat mengalami kuman di tangan kiri dan telah merebak ke dalam darah pada 12 Disember tahun lalu.
Foto: Instagram @lindarafar
#Meninggal Dunia #Linda Rafar