Pelakon Ezzaty Abdullah akui terkejut apabila mendapat tahu dia merupakan kontak rapat COVID-19 dengan salah seorang kru ketika menjalani penggambaran sebuah drama minggu lalu.

Menurut Ezzaty dia terkelu apabila mendapat tahu perkara tersebut kerana baru sahaja memeluk serta mencium kedua ibu bapanya serta anaknya, Harum Dalia.

“Kebetulan saya pulang ke kampung untuk ambil anak saya pulang dengan saya tetapi pada malam hari saya dapat panggilan yang saya merupakan kontak rapat COVID-19 kepada kru penggambaran yang baru saya jalani dua hari lalu.

“Saya speechless dan terkejut kerana saya baru sahaja peluk dan cium ibu bapa saya serta anak sedangkan saya dalam risiko.

“Saya terus pulang ke Shah Alam dan terpaksa meninggalkan Harum untuk membuat pemeriksaan swab seterusnya menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya.

Ezzaty dihubungi Astro Gempak selepas dia memuat naik foto yang menunjukkan sedang membuat panggilan video bersama suaminya, Azwan Kombos serta anaknya.

Pelakon drama The Maid itu kuarantin kendiri sejak 22 April lalu dan sudah menjalani dua kali swab yang menunjukkan keputusan negatif.

Ezzaty bakal menamatkan tempoh kuarantinnya pada 1 Mei ini jika keputusan ujian Covid-19 ketiganya negatif.

Pun begitu, Ezzaty meluahkan rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan suami dan anak kerana sikap orang yang mempunyai kontak rapat tetapi tidak bertanggungjawab untuk kuarantinkan dirinya.

“Sebenarnya saya baru sahaja bersedih kerana Azwan terpaksa menjalani penggambaran di Sabah sejak Ramadan ketiga yang lalu sehingga sebulan di sana.

“Kini saya rasa macam nak jerit, sedih sangat rasa bila pertama kali berpisah lama dengan Azwan dan Harum. Saya harap keputusan ujian ketiga saya negative, dapatlah saya jumpa anak saya.

“Cuma saya nak minta kepada semua tolonglah ada kesedaran jika anda kontak rapat…silalah untuk kuarantinkan diri jangan selfish. Ini tidak, ada yang saya tahu yang kontak rapat tapi boleh bersiar di pusat membeli belah.

“Jika tidak ia akan menyusahkan ramai pihak dan rantaian ini tidak akan putus jika ramai bersikap begini,” luahnya.

Ezzaty dan Azwan mendirikan rumah tangga pada Julai 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 6 Disember 2017.

A post shared by Ezzaty Abdullah (@ezzatyabdullah)