Aktres jelita Uqasha Senrose memaklumkan dirinya teringin untuk memakai tudung kembali namun perlu berfikir semasaknya sebelum mengambil keputusan tersebut.

Menerusi laman sosial TikTok, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, berkata dia mahu istiqomah terlebih dahulu kerana tidak mahu keputusannya berhijab nanti akan menjadi bahan kecaman wargamaya.

“Rasa macam nak pakai tudung balik, tapi kena istiqomah dulu, nanti kena kecam,” ujarnya dalam sebuah video yang dimuat naik di platform TikTok, semalam.

Menerusi video yang berdurasi 52 saat itu, Uqasha dilihat sedang mencuba sehelai jubah abaya yang diterimanya lengkap dengan tudung daripada warna sedondon.

“Alhamdulillah, saya dapat abaya lagi. Saya tak pernah kecewa dengan rekaan abaya. Walaupun ia jubah, tapi ia kelihatan bergaya tapi pada masa yang sama, ia menutup aurat. Itu paling penting,” katanya.

Terdahulu, Uqasha pernah mengambil keputusan untuk berhijab sekitar tahun 2013 namun ia hanya bertahan selama tiga tahun.

Sekadar info, Uqasha mengikat tali pertunangan dengan pelakon Kamal Adli, 35, pada April lalu selepas menyulam cinta apabila digandingkan menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad pada tahun 2019.

Sebelumnya, Kamal melamar Uqasha secara terbuka dalam Anugerah MeleTOP Era 2020, Disember tahun lalu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.