Pelakon Rita Rudaini mengakui pengalaman berpisah dengan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin merupakan momen sukar yang perlu dilaluinya.

Kata Rita, sepanjang membesar, Airit Rayyan, 13, tidak pernah berenggang dengannya sehinggalah mereka akhirnya berpisah untuk memasuki sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan pada April lalu.

"Selama ini kami memang tak pernah berenggang langsung, kalau keluar pun saya dengan anak-anak sahaja.

"Sekarang ni, setiap malam saya akan tunggu Rayyan telefon... (rasanya) macam tunggu boyfriend telefon, dengar deringan pertama je terus cepat-cepat angkat.

"Adik dia pun ada kata sunyi dekat rumah... bila kami sembahyang sama-sama, waktu bagi salam tu selalu dua orang anak salam saya, tapi sekarang ini tinggal seorang ni je la.

"Lepas tu, kami berdua mulalah berpelukan sambil menangis sebab rindu abang Rayyan dia," katanya.

Walaupun sedih terpaksa berjauhan dengan anak, namun Rita tidak akan sesekali menghalang sekiranya anak bongsunya, Airit Qaqa Arjuna, 11, seandainya mendapat peluang untuk belajar di sekolah asrama kelak.

"Saya memang cepat tersentuh hati kalau pasal anak-anak... Saya juga pernah tersasul panggil nama Rayyan kat rumah.

"Bila Arjuna tengok saya menangis bila rindukan abang dia, dia kata dia tak nak la masuk asrama... tapi saya suruh dia pergi juga.

"Saya cakap dengan dia 'tidak mengapa, mummy boleh duduk seorang'," katanya.

Untuk rekod, Rita, 46, mempunyai dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 13, dan Airit Qaqa Arjuna hasil perkahwinan dengan bekas suami, pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak.