Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Rasa Seperti Dilahirkan Semula” - Sajat Kini Wanita Di Australia, Dakwa Berjaya Daftar Status Tukar Jantina

Mya Amri
23/02/2022 03:46 MYT
Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman memaklumkan sudah menukar status jantinanya kepada wanita.

Muhammad Sajjad atau lebih dikenali dengan nama Nur Sajat mendakwa status penukaran jantinanya diluluskan kerajaan Australia.

Menurut Sajat, dia berasa gembira kerana proses tersebut telah pun selesai.

“Saya rasa gembira kerana semuanya telah selesai. Saya rasa selesa menjadi wanita.

“Negara ini memahami keadaan saya, kini saya rasa lebih bebas dan boleh jadi diri sendiri.

“Saya bangga menjadi wanita. Terasa seperti dilahirkan semula… Saya mahu orang terima saya,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.

Menjawab pertanyaan pengikutnya, Sajat memberitahu dia tidak akan menukar namanya.

“Saya lebih selesa dengan nama Nur Sajat. Saya bangga dengan nama ini, satu dunia kenal nama ini,” ujarnya.

Terdahulu, Sajat memilih untuk menjalani kehidupan baru di Australia sejak Oktober tahun lalu kerana berasa tidak selamat tinggal di Malaysia.

Sebelum itu, Sajat pernah melarikan diri ke Thailand namun ditahan pihak imigresen pada 8 September 2021 kerana memiliki pasport tidak sah.

#Nur Sajat #Australia #Muhammad Sajjad #Sajat Wanita #Status Jantina
;