Pelakon Korea Kim Min Joon, 44, akui perkahwinannya bersama kakak penyanyi K-Pop terkenal G-Dragon, Kwon Dami, 36, diadakan secara privasi.

Min Joon mendedahkan perkara itu menerusi satu temu bual bersama Hankuk Ilbo baru-baru ini.

Menurut Min Joon, mereka berdua tidak mempunyai niat untuk menghebahkan berita mengenai perkahwinan mereka.

“Pelan asalnya kami tidak mahu memberitahu tarikh perkahwinan kami dan mahu berkahwin secara privasi kerana kami tidak menjemput ramai tetamu,” katanya.

Tambah Min Joon lagi, pihak keluarga yang mahukan mereka berkahwin sebelum akhir tahun ini.

“Sebenarnya kami tidak tergesa-gesa untuk berkahwin cuma keluarga kedua-dua belah pihak yang menetapkan tarikh tersebut dan mahukan kami berkahwin sebelum akhir tahun ini.

“Keluarga saya sangat menyukai Dami kerana dia seorang yang peramah dan menyenangkan. Saya dapat rasakan yang saya boleh menghabiskan hidup saya bersama dia,” jelasnya.

BACA: Kim Min Joon Bakal Kahwini Kakak G-Dragon Oktober Depan

Mengulas mengenai bakal adik iparnya, G-Dragon, Min Joon memberitahu baru bertemunya sebanyak dua kali.

“Saya hanya bertemu G-Dragon sebanyak dua kali itu pun ketika dia mendapat cuti daripada latihan tentera.

“Dia seorang yang sangat comel dan disukai ramai. Dia memberikan sepenuh perhatian terhadap perkahwinan kakak kesayangannya.

“Bagaimanapun saya berasa terkilan kerana perkahwinan kami akan berlangsung sebelum dia tamat latihan ketenteraan,” ujarnya.

Perkahwinan Min Joon dan Da Mi bakal berlangsung pada 11 Oktober depan.

Sumber: Koreaboo