Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza Ibrahim mengisytiharkan dirinya sebagai bukan Muslim.

Rozlina Ibrahim adalah seorang wanita yang berbapakan Muslim dan beribukan bukan Muslim.

Dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersama sembilan panel hakim lainnya, memutuskan Rosliza Ibrahim tidak pernah menganut Islam.

Menurut laporan Harian Metro, dalam membenarkan rayuan Rosliza, Tengku Maimun berkata, tiada bukti wanita itu yang dibesarkan ibunya yang beragama Buddha sejak kecil pernah menganut Islam.

Rosliza memfailkan saman pemula pada 2015 bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau dilahirkan sebelum bapanya yang beragama Islam dan mendiang ibunya, yang beragama Buddha, berkahwin.

Dia mendakwa bahawa beliau bukan seorang penganut agama Islam dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu dan rayuannya juga ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu berhubung dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Sementara itu, menerusi laporan Malaysia Kini, mahkamah juga memutuskan kes ini berbeza dengan kes Lina Joy yang dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi mahu keluar agama.

Kerajaan Selangor menjadi responden pertama untuk rayuan hari ini, diikuti oleh Majlis Agama Islam Selangor (Jais).

Kredit Foto: MalaysiaKini