Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dihukum penjara 54 tahun dan didenda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau dituduh menerima wang tersebut daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Bagaimanapun semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Isa Samad hanya dipenjara selama enam tahun.

Mahkamah turut memerintahkan Isa Samad dihukum penjara 18 tahun jika gagal membayar denda yang diperintahkan.

Isa Samad, 72, melalui peguam, Datuk Salehuddin Saidin memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman (stay of execution) yang dijatuhkan ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.

Ia setelah mahkamah berpuas hati dengan hujah pemohon sekaligus membenarkan penangguhan bagi kedua-dua hukuman penjara dan denda itu sehingga selesai rayuan pemohon.

Mahkamah turut membenarkan jaminan berjumlah RM1.5 juta oleh pemohon untuk dibayar sebelum 2 petang Khamis.

Isa juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis berhampiran rumah beliau pada setiap 1 hari bulan.

Kredit foto: Malay Mail