Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Ratu Cantik Malaysia Antara Mangsa Jangkitan COVID-19, Pusingan Akhir Miss World 2021 Terpaksa Ditunda!

Amri Hassan
17/12/2021 02:46 MYT
Ratu cantik Malaysia, Dr. Lavanya Sivaji antara mangsa jangkitan virus COVID-19 ketika pertandingan Miss World 2021 sedang berlangsung di Puerto Rico.

Mewakili Malaysia, Lavanya menerusi satu kenyataan di Instagram memaklumkan dirinya disahkan positif virus mengancam nyawa itu dan sedang menjalani kuarantin.

"Keputusan ujian PCR mengesahkan wakil Malaysia, Dr. Lavanya Sivaji positif COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin dengan pemantauan petugas kesihatan.

"Menurut Organisasi Miss World, jika ada peserta yang positif ujian PCR, mereka akan diasingkan selama 10 hari dan tidak boleh berada di pentas untuk pusingan akhir.

"Bagaimanapun, peserta masih boleh dinilai dan berpeluang untuk memenangi Miss World 2021. Panel juri akan menilai daripada sudut bakat, persembahan terdahulu dan video yang telah dirakamkan lebih awal untuk keputusan akhir," maklum kenyataan itu.



Dilaporkan tujuh ratu cantik dari beberapa negara yang tanding dalam Miss World 2021 disahkan positif COVID-19 termasuk wakil dari Indonesia, Pricila Carla Yules.

Sehingga artikel ini ditulis, 17 individu termasuk ratu cantik positif COVID-19.

Ekoran penyebaran virus COVID-19, Pengarah Urusan organisasi Miss World Ltd., Julia Morley memberitahu pihaknya bagaimanapun terpaksa menangguhkan sesi akhir yang dijadualkan sepatutnya berlangsung pada hari ini, 17 Disember 2021.

"Miss World 2021 terpaksa menangguhkan pusingan akhir demi keselamatan kakitangan, kru, peserta dan orang awam.

"Pusingan akhir dijangka akan diadakan semula dalam tempoh 90 hari akan datang bertempat di Coliseum Jose Miguel Agrelot, Puerto Rico.

"Dari semalam, langkah-langkah keselamatan maksimum telah dilakukan dalam kalangan delegasi, pasukan produksi dan kakitangan di semua lokasi acara termasuk di pentas dan bilik persalinan.

"Langkah seterusnya adalah kuarantin, pemantauan rapi dan ujian saringan lanjut.

"Apabila delegasi disahkan bebas daripada virus itu, mereka akan dibenarkan pulang ke negara masing-masing," katanya.



97 delegasi telah mewakili negara masing-masing dalam festival Miss World 2021 yang berlangsung di Puerto Rico sejak 21 November lalu.
#Ratu Cantik #Malaysia #Positif #Tunda #Finale #COVID-19 #Delegasi #Dr. Lavanya Sivaji #Miss World 2021 #Postpone #Puerto Rico