Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Raya Pertama Mama Guna Seluruh Tenaga Untuk Pakai Baju Sedondon Dengan Ayah & Tinggalkan Nasihat Pada Kami" - Fazren Rafi

Badrul Hashim
31/05/2020 05:35 MYT
Khamis lalu ketika seluruh umat Islam masih lagi meraikan Syawal, ibu kepada pelakon Fazren Rafi pergi mengadap Illahi selepas azan Asar.


Baca: Ibu Kepada Pelakon Fazreen Rafi Meninggal Dunia

Berkongsi kisah bersama Gempak, Fazren memberitahu mereka mendapat berita bahawa ibu tercinta, Allahyarham Sutinah binti Sahari mengidap kanser usus sejak tahun lalu.

"Betul-betul pada hari raya keenam tahun lalu, kami mendapat berita bahawa Mama mengidap kanser usus tahap empat.

"Sejak pada itu, Faz dan isteri sentiasa cuba membantu yang terbaik memenuhi keperluan Mama kerana Mama tinggal dengan Papa dan kami berulang alik ke sana," kata Fazren.



Menurut Fazren ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan dia tidak dapat melawat ibunya itu. Namun selepas dibenarkan untuk merentas daerah dia dan isteri melawat arwah ibu.

Selepas sebulan tidak berjumpa, Faz nampak Mama sangat lemah. Jadi Faz ajak Mama ke hospital untuk berjumpa dengan doktor.

"Memang sangat sedih bila diberitahu bahawa kanser Mama sudah merebak sehingga 90% dan doktor minta kami sekeluarga 'bersedia' dengan apa juga keadaan," kata Faz sayu.

Fazren tetap mahu ibunya beraya bersama-sama, lantas membelikan pakaian raya sedondon bersama ayahnya.



"Itulah baju raya yang terakhir dipakai Mama. Dia seolah-olah menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk memakai pakaian tersebut pada hari raya pertama untuk kami bergambar bersama.

"Kemudian dengan kudrat yang ada, dia tinggalkan pesanan untuk kami adik beradik. Itulah kali terakhir Mama berbual dengan kami sebelum meninggalkan kami semua pada 28 Mei," cerita Fazren kepada Gempak.

Fazren memberitahu ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kapar, Klang selepas solat Isyak pada hari yang sama arwah meninggal.



"Saya bersyukur mempunyai isteri yang sangat mengambil berat dan menyayangi Mama seperti ibunya sendiri. Dia sentiasa ada untuk Faz dan Mama.

"Kalau Faz tak larat, isteri Faz yang ambil alih tugas membeli makanan permintaan Mama, menyorong kerusi roda Mama bila mahu ke hospital dan banyak lagi pengorbanan yang dilakukannya," kata Fazren yang bersyukur mempunyai seorang isteri yang sangat memahami.



Fazren berkahwin dengan Syarifah Marlina Asyikin Syed Hassan pada tahun 2011 dan mereka dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.

#Kanser #Fazren Rafi #Ibu Meninggal
;