Momen emas Anugerah Golden Globes yang baru berlangsung sebentar tadi barangkali menjadi milik Sandra Oh!

Sandra, 47, yang menjadi hos anugerah berprestij itu memenangi trofi Aktres Terbaik menerusi drama bersiri Killing Eve.

Kemenangan itu menjadikan Sandra wanita keturunan Asia kedua memenangi trofi Anugerah Golden Globes selepas Yoko Shimada (Shogun) pada 1981.

Lakonan Sandra sebagai agen MI6 dalam drama bersiri itu telah mengalahkan empat calon lain iaitu Julia Roberts (Homecoming), Caitriona Balfe (Outlander), Elizabeth Moss (The Handmaid's Tale), dan Keri Russell (The Americans).

Sandra pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi drama popular Grey's Anatomy pada tahun 2006.

Sandra turut mencuri perhatian ramai menerusi ucapan terima kasihnya buat kedua-dua ibu bapanya yang hadir pada acara tersebut dalam bahasa Korea.

Ketika diumumkan, ibu dan bapanya Jeon Young-nam dan Oh Junsu berdiri memberikan standing ovation sambil bertepuk tangan.

Kecomelan keletah pasangan itu kini menjadi buah mulut netizen di media sosial.

Malah, ramai yang memuji Sandra yang tidak melupakan jasa orang tuanya ketika menerima anugerah tersebut.

Oh Junsu and Jeon Young-nam berasal dari Korea namun telah menetap di Ottawa, Kanada sejak 1960-an.