Teka-teki siapakah pelakon yang membawakan watak superhero ikonik Malaysia, Keluang Man telah pun terjawab selepas bintang aksi, Nas Muammar Zar yang dahulu dikenali sebagai Nas-T dipilih untuk memegang peranan itu.

Menurut Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pemilihan Nas-T itu adalah kerana dia mempunyai ciri-ciri dan dedikasi yang menepati kriteria karakter Keluang Man.

“Selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan Keluang Man, pelbagai reaksi positif diterima daripada peminat serta menerima liputan meluas.

“Ini membuktikan Keluang Man masih relevan dan mempunyai impak yang sangat besar kepada penonton Malaysia.

“Dalam masa yang sama, kami mahu memperkenalkan semula IP animasi kebanggaan negara kita melalui live action movie kepada generasi baru dan tentunya mengangkat karya ini ke tahap yang lebih tinggi, dengan skala yang lebih besar.

“Antara yang menjadi tumpuan tentunya pemegang watak Keluang Man dan selepas menjalankan sesi uji bakat, Astro Shaw mencapai kata sepakat untuk memilih Nas Muammar Zar kerana ciri-ciri dan dedikasinya yang menepati kriteria karakter.

“Kami percaya Nas mampu membawakan kelainan dalam menghidupkan watak animasi kegemaran ramai ini.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir bagi sesi uji bakat dan kami akui semuanya hebat-hebat belaka.

“Keluang Man dijangka menemui penonton pada tahun 2025. Kami sedang merangka strategi dalam menghasilkan universe terbesar ini dan mengalu-alukan peluang kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam francais ini,” jelasnya.

Muncul di atas pentas majlis pelancaran dengan menanggalkan topeng Keluang Man, Nas-T akan bergandingan dengan pelakon utama lain seperti Datuk Rosyam Nor, Remy Ishak dan Anwaar Beg Moghal.

Versi filem bakal diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.

Astro Shaw kini dalam fasa pra-produksi dan sesi penggambaran dijangka bermula April tahun hadapan.

Selain itu, Astro Shaw turut mengumumkan rangka sesi penggambaran, sasaran tarikh tayangan, serta perancangan untuk produksi dan pemasaran bagi universe adiwira tempatan terbesar.

Malah berdasarkan pencarian kata kunci di Google Trends, Keluang Man masih dicari sejak tahun 2004 sehingga kini dan diperkatakan.

Di platform TikTok, menerusi #KeluangMan telah mencatat 20 juta tontonan, manakala video berkaitan Keluang Man di YouTube menerima 8 juta tontonan.

Begitu juga dengan koleksi lukisan peminat (Fan Art) yang banyak dihasilkan.

Lebih membanggakan, Google kenang pencipta Keluang Man, Allahyarham Kamn Ismail menerusi Google Doodle khas.

Sementara menantikan filem Keluang Man ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com sekarang bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.

Nantikan filem adiwira ikonik Malaysia Keluang Man yang akan menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

Gunakan #KeluangMan bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini.

Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Keluang Man di TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

Untuk info, Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.

Sinopsis:

Keluang Man memaparkan kisah tentang seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah.