Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Red Lycans Juarai Astro Battleground 2016

Ahmad Shah 13/07/2016 | 10:27 MYT
Red Lycans menewaskan saingan terdekatnya, Dark Riderz pada pertarungan dance-off yang cukup sengit ketika bertanding untuk merebut kejuaraan Astro Battleground 2016.

Rancangan realiti TV tarian jalanan yang sudah tidak asing lagi, terbitan Astro Wah Lah Toi ini turut menyaksikan kebangkitan Juara Keseluruhan All Star dari kumpulan Red Lycans; Lim Leong Inn ataupun KidInn, 23 tahun yang menewaskan tujuh lagi ahli kumpulannya dengan gerak tari yang cukup mengagumkan.

Berlangsung baru-baru ini di Sunway Pyramid Ice, pusingan akhir Astro Battleground 2016 menyaksikan 16 daripada 46 peserta mengharungi sembilan pusingan mendebarkan selama tiga bulan, dan beraksi di pusingan 10 yang juga pusingan terakhir.

Ia bukanlah kemenangan mudah bagi Red Lycans, yang menang tipis menerusi margin 3-2, selepas menyempurnakan lima pusingan mencabar dalam pusingan akhir iaitu The Style, The Spirit, The Origin, The Journey dan The Battle.

Keputusan penuh terletak di tangan panel penjurian yang terdiri daripada 5 penari antarabangsa yang cukup hebat; Brian Puspos dari Amerika Syarikat, Funky Lia, 1G dan Bboy Skim dari Korea, juga C. Hsiang dari Taiwan.

Walau bagaimanapun, kerja keras Red Lycans membuahkan hasil apabila mereka layak mewakili Malaysia ke Asian Battleground, pertandingan tarian jalanan terbesar Asia, 8 Oktober 2016 menentang penari-penari hebat lain dari Korea, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Beijing dan Thailand. Pasukan itu turut menerima hadiah tunai sebanyak RM 50,000.

“Kami semua gembira kerana akhirnya kami berjaya sampai ke tahap ini. Namun sekarang adalah masa untuk kami berlatih dan berusaha lebih keras lagi. Selepas ini, cabaran besar menanti apabila kami akan bertarung dengan pencabar lebih hebat dari negara sekitar Asia,” kata ketua kumpulan Red Lycans, Jayden Koi Kian Boon.

Pusingan akhir yang berlangsung selama tiga jam itu mencapai kemuncaknya apabila kesemua lapan ahli Red Lycans perlu bertarung sesama sendiri untuk gelaran Juara Keseluruhan All Star selepas bersama memenanginya secara berkumpulan. Menampilkan gerak tari lincah dan koreografi yang pelbagai, KidInn berjaya menyerlah dengan memikat hati juri untuk mengangkat beliau sebagai juara kategori solo.

Penari ‘freelance’ dengan lebih 11 tahun pengalaman ini mengakui ia bukanlah satu perjalanan mudah untuk kebanyakan daripada peserta yang ada.

“Untuk sampai ke tahap persembahan professional dalam jangka masa yang singkat sama mencabar apabila melihat satu persatu ahli kumpulan disingkirkan. Astro Battleground sememangnya membantu kami melebihi kemampuan kami, secara fizikal dan juga mental,” kata KidInn yang merancang menggunakan sebahagian daripada hadiah tunai RM 35,000 yang dimenangninya untuk meningkatkan skil tariannya di antarabangsa.

Dalam pada itu, Anugerah Pilihan Penonton All Star menjadi milik Jym Tan Jia Tzer, 19 dari kumpulan Dark Riderz yang membawa pulang wang tunai RM 2,000.

Red Lycans dianggotai Jayden Koi Kian Boon, Lim Leong Inn (KidInn), Rita Cheam Heng Mun, Marcus Lim Yeow Hwee, Tan Yu Ki, Puteri Aisya Marissa (Shasya), Sheena Low Hui Lin and Samantha Soon Hui Zhen. Walaupun tewas, dua ahli Dark Riderz iaitu Chung Hon Yew (Black-Z) dan Muhamad Amirul Hafiz Mohd Azlee turut dipilih menyertai Red Lycans dalam misi mereka untuk mengharumkan nama Malaysia pada Asian Battleground yang akan datang.

Bekas juara Astro Battleground, Dennis Yin masih lagi kekal sebagai pengacara, berpasangan bersama Denise Camilia Tan yang juga pemenang Miss Astro Chinese International Pageant 2012.

Sepanjang pusingan awal pertandingan, Astro Battleground menjemput penari berpengalaman di seluruh dunia sebagai juri dan mentor. Selain itu, para peserta mendapat peluang ke Korea untuk menajamkan skil tarian mereka, berkat hasil keras dan usaha yang telah dilakukan pihak produksi.

Episod akhir Astro Battleground 2016 akan ditayangkan Ahad ini, 17 Julai 2016 pada jam 8.30 malam di saluran Astro Wah Lai Toi (saluran 311 dan saluran 310 HD) dan juga boleh ditonton di Astro on the Go dan On Demand. Layari Astro Gempak untuk aksi-aksi tarian hebat bermula Ogos ini sehingga berlangsungnya Asian Battleground pada 8 Oktober 2016.

#Astro Battleground
;