Artis K-pop terkenal, Red Velvet, NCT 127 dan Yesung bakal hadir ke Malaysia untuk konsert I-Seoul-U 23 Mei ini.

Sudah pasti peminat tidak sabar untuk mendengar alunan suara merdu anggota kumpulan Super Junior, Yesung yang baru sahaja melancarkan album solo keduanya berjudul Spring Falling.

Tidak terhad hanya kepada vokal, peminat juga akan dihiburkan dengan tarian hebat kumpulan idola popular, Red Velvet dan juga sub unit NCT iaitu NCT 127.

Sudah semestinya konsert yang bakal berlangsung selama dua jam ini akan membuatkan peminat K-pop berasa tidak puas dan mahukan persembahan tanpa henti.

Menariknya, persembahan pembukaan konsert ini akan dilakukan oleh dua artis Malaysia iaitu Altimet dan kumpulan De Fam.

Dalam pada itu, Kerajaan Metropolitan Seoul yang juga merupakan penaja konsert berkenaan akan mengadakan satu pameran Korea di pusat membeli-belah Pavilion pada hari yang sama.

Tujuan pameran tersebut diadakan adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan Seoul sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik.

Melalui pameran tersebut, pengunjung akan diperkenalkan dengan lebih banyak info mengenai produk makanan halal, merasai pengalaman bermain ski secara virtual, mencuba tarian K-Pop dan banyak lagi.

Selain itu, pengunjung juga akan diperkenalkan dengan budaya-budaya Korea Selatan dan juga tempat-tempat pelancongan popular seperti yang dilihat dalam kebanyakan drama Korea.

Kepada peminat K-Pop, jangan lupa untuk sama-sama hadir memeriahkan konsert I-Seoul-U pada 23 Mei ini bertempat di Pusat Convention Center, Kuala Lumpur.

Tiket masuk ada percuma dan untuk mendapatkan tiket konsert, anda dikehendaki menebus tiket tersebut bermula 11 Mei.

Untuk maklumat lanjut mengenai penebusan tiket, sila layari www.ticketcharge.com.my atau hubungi +603 9222 8811.

Sebagai rakan media rasmi untuk konsert I-SEOUL-U, pelanggan Astro boleh menebus pas masuk di www.astrocircle.astro.com.my.