Laman Utama
Reen Rahim Anggap Perkongsian Di Media Sosial Sebagai Diari - “Bukan Sekadar Untuk Mendapat Perhatian Atau ‘Like’…”
Berkongsi mengenai medium media sosial, pelakon Reen Rahim menganggap perkongsian yang dimuat naik sebagai diari untuk menjadi kenangan pada masa akan datang.
Biarpun menyelit elemen jenaka, Reen menjelaskan setiap perkongsian yang dimuat naik mempunyai mesej tersirat yang cuba untuk disampaikan buat pengguna media sosial.
“Walaupun perkongsian yang saya muat naik berbentuk gurauan, namun bagi mereka yang bijak membaca perkara tersirat dan tersurat, pasti dapat membaca mesej yang cuba disampaikan.
“Contohnya seperti mesej yang saya muat naik mengenai jangan percaya walaupun darah daging, mungkin sukar diterima oleh segelintir pihak, namun ada kebenaran disebalik kata-kata itu. Begitu juga dengan ciri-ciri penyondol, yang cuba menjadi kawan baik kita, kemudian merampas hak kita.
“Itu adalah fakta sebenarnya. Orang berpendapat media sosial adalah dunia tipu-tipu namun bagi saya, media sosial adalah diari momen kerja dan momen bersama keluarga yang sempat dirakam.
“Alhamdulillah dan bersyukur sekiranya apa yang saya kongsikan memberi inspirasi buat mereka di luar sana. Saya hanya menjadi diri sendiri. Bukan sekadar untuk mendapat perhatian atau ‘like’ semata-mata,” kata Reen.
Sebelum ini, Reen pernah dikecam apabila memuat naik perkongsian terpaksa bangun sahur selepas mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod, Reen ,35 selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, 28, pada majlis pernikahan di Boraombak Marina, Putrajaya pada 24 Disember 2022.