BERITA
Remaja Dakwa Jadi Mangsa Amang Seksual Pendakwah Selebriti
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendedahkan satu kes amang seksual yang didakwa membabitkan seorang pendakwah selebriti dengan seorang remaja yang masih belajar.
Menurut Nurul Izzah, kejadian itu berlaku selepas mangsa dipujuk oleh suspek untuk mengikutinya ke sebuah negeri lain atas alasan menonton persembahan nasyid.
“Remaja itu percaya kepada suspek kerana menganggapnya sebagai tokoh agama. Namun, pada malam kejadian, suspek dikatakan melakukan perbuatan berkenaan di sebuah bilik hotel," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.
Nurul Izzah berkata, dalam keadaan keliru dan takut, mangsa mengurung diri dalam tandas selama lima jam sebelum melarikan diri selepas lelaki itu tertidur.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi keluarganya sebelum satu laporan polis dibuat.
Lebih mengejutkan, kata Nurul Izzah, keluarga mangsa dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis terdahulu melibatkan suspek yang sama, namun tiada tindakan tegas diambil.
“Persoalannya, mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini?” katanya.
Tambahnya, keluarga mangsa kini berdepan tekanan baharu apabila difahamkan mereka disaman oleh suspek atas dakwaan memfitnah dan diminta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran media.
“Ini menambah beban kepada keluarga yang berasal daripada kelompok B40 dan tidak mempunyai simpanan mencukupi,” katanya.
Nurul Izzah turut memaklumkan bahawa mangsa kini mengalami trauma dan memerlukan rawatan berkala, selain prestasi pelajarannya terjejas.
Dalam pada itu, beliau menyatakan komitmen untuk membantu keluarga mangsa dari segi sokongan guaman dan kebajikan.
“Saya akan pastikan mangsa dilindungi dan keadilan ditegakkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video