Remaja Usia 15 Tahun Mengaku Rogol Adik Hingga Bersalin Di Rumah Sendiri Dengan Bayi Berada Dalam Besen!
Syafiqah Jalal
23/02/2023 22:06 MYT
23/02/2023 22:06 MYT
Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu pada Khamis atas pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 15 tahun membuat pengakuan bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya yang berusia 14 tahun yang mana hubungan mereka adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.
Kesalahan itu dilakukan antara 21 Jun hingga 30 Jun 2022 lalu pada pukul 11 malam hingga 12 malam di sebuah rumah di Jempol.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama, di lokasi sama pada 11 malam hingga 12 malam antara 1 September hingga 10 September tahun lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376b (1) Kanun Keseksaan yang boleh berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pegawai perubatan pada 16 Disember lalu dimaklumkan seorang budak perempuan berusia 14 tahun telah bersalin di sebuah rumah.
Pasukan perubatan kemudian ke rumah tersebut dan mendapati mangsa berada di atas katil ruang tamu dan seorang bayi lelaki cukup sifat berada di dalam besen serta keadaan bayi bersama uri masih bersambung.
Difahamkan, mangsa telah melahirkan bayi kira-kira pukul 5 pagi di dalam bilik air dengan bantuan ibu mangsa.
Majistret Norshazwani pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga serta dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh pula dikehendaki tinggal berasingan dan dilarang menghubungi mahupun mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Nizam Rafii manakala remaja berkenaan tidak diwakili peguam.
Sumber: Awani
Foto: Sekadar hiasan
Foto: Sekadar hiasan