Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rempuhan Bas Di Ampang: RapidKL Mohon Maaf

Amri Hassan
17/08/2018 09:49 MYT
Pengendali bas RapidKL, Prasarana Malaysia Berhad memohon maaf kepada orang ramai berkenaan insiden seorang pemandu bas RapidKL yang bertindak merempuh beberapa buah kereta di ibu negara malam tadi.

Baca: "Ibu Aku Pangku Baby 2 Bulan Terpelanting!" - Bas Ini Didakwa Rempuh 20 Kereta Kerana Mahu Melarikan Diri

Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof berkata pihaknya masih sedang mendapatkan maklumat terperinci berkenaan kejadian tersebut.

Dalam mengesahkan kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam Khamis, beliau berkata bas berkenaan sedang beroperasi di Laluan 221 dari Datuk Keramat ke Ampang Point ketika kejadian berlaku.

"Kapten (pemandu) bas itu sudah berkhidmat selama dua tahun dan dia mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.

"Punca kejadian masih belum dikenal pasti, namun kami memohon maaf kepada orang ramai atas insiden ini," katanya pada satu sidang media di Taman Maluri, Cheras sebentar tadi.

Katanya, kapten bas tersebut kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Ampang.

Tambahnya, tiada laporan kemalangan jiwa yang diterima setakat ini.

"Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan ini," ujarnya yang turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang insiden itu.

Apabila ditanya tentang jumlah penumpang yang berada di dalam bas ketika kejadian, Shamsul Rizal berkata maklumat tersebut belum dikenal pasti.

"Kami masih belum dapat maklumat sebenar, ada penumpang ke tidak atau berapa penumpang (dalam bas).

"Kami kena memeriksa bas tersebut, kami belum diberi peluang lagi," ujarnya.

Tambahnya, jika ada pihak yang mahu membuat tuntutan, mereka boleh menghubungi talian RapidKL di 03-7885 2585.
#Viral #Viral #Bas #RapidKL
;