Filem Proksi telah menjengah pawagam di rumah anda menerusi Astro First, saluran 480 sejak 18 November lalu.

Filem ini semestinya mempunyai kualiti tersendiri selain menampilkan barisan pelakon handalan tanah air.

Namun di sebalik keseronokan menyaksikan filem Proksi, kita tidak seharusnya lupa kepada mereka yang telah pergi untuk selamanya.

Selain Allahyarham Ashraf Sinclair yang merupakan teraju utama Proksi, seorang lagi insan yang terlibat dalam pembikinan filem ini, iaitu Pengarah Fotografi, Allahyarham Mohd Filus Ghazali atau Pak Filus turut dikenang.

BACA: "Kalau Orang Tak Kenal, Orang Akan Nampak Arwah Macam..." - Remy Ishak Kongsi Pengalaman Kerjasama Dengan Ashraf Sinclair

Menurut aktor Remy Ishak yang turut membintangi Proksi, dia gembira kerana sempat bekerjasama dengan Allahyarham ketika penggambaran filem berkenaan.

"Saya sebenarnya sudah beberapa kali bekerjasama dengan arwah Pak Filus, tapi sebelum itu saya tak begitu mengenalinya.

"Dalam industri orang selalu cakap tentang arwah, nama Pak Filus sebenarnya besar dalam industri perfileman tanah air, dia merupakan salah seorang Pengarah Fotografi senior di Malaysia," katanya.

Kata Remy, dia tidak mengenali Pak Filus secara rapat ketika awal kemunculannya sebagai pelakon namun mengetahui Allahyarham adalah seorang yang sentiasa merendah diri.

"Ketika saya mula berlakon dahulu selalu dengar nama dia tapi tak kenal orangnya lagi waktu itu sebab arwah sangat merendah diri.

"Apabila kami berjumpa ketika pembikinan Proksi, saya sangat gembira, dia hanya jadi diri sendiri dan relaks," katanya lagi.

Terdahulu, Allahyarham Pak Filus disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020.

Selain Ashraf dan Pak Filus, pengendali kamera drone yang berkhidmat dalam pembikinan Proksi, Mohamed Saiful Hairy Shahari juga telah pergi mengadap Ilahi.

Al-Fatihah...

BACA: "Telah Kembali Seorang Lagi Anak Seni.." - Pengarah Fotografi Mohd Filus Ghazali Meninggal Dunia