Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Retro Havoc 2023 Bikin ‘Kecoh’, Gadis Terlanggar RE Amemiya Carbon Mohon Maaf - “Ia Kemalangan Yang Boleh Berlaku Kepada Semua Orang Tapi Kami…”

Asyikin Mayudin
31/05/2023 02:50 MYT
Meskipun penganjuran karnival sukan permotoran Retro Havoc 2023 kali ke-8 yang berlangsung 27 Mei lalu mendapat sambutan namun difahamkan ia dicemari dengan beberapa isu dan insiden yang menjadi topik hangat sehingga kini.

Walaupun sudah dimaklum bahawa tindakan menyentuh kenderaan adalah tidak dibenarkan, beberapa pemilik kereta mendedahkan ramai pengunjung yang gagal mematuhi arahan tersebut sehingga menimbulkan kemarahan.

Lebih parah apabila boleh dikatakan ramai pengunjung dengan selamba duduk di atas kereta pameran untuk bergambar selain itu ada juga yang berlari di celah-celah kenderaan bagi merakam aksi ‘pop and bang’.

Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok Vocket memperlihatkan dua orang wanita berlari sehingga salah seorang mereka terlanggar bahagian original RE Amemiya Carbon spoiler sebuah kereta pameran sehingga patah.

“Dah langgar patah original part RE Amemiya Carbon spoiler, selamba buat macam tak ada apa-apa,” tulis di kapsyen perkongsian itu.

Difahamkan harga untuk RE Amemiya Carbon spoiler itu boleh mencecah RM8,000 hingga ke RM15,000.

Bagaimanapun, wanita tersebut menerusi Instagram mengakui kesalahannya dan telah menghubungi pemilik kenderaan tersebut untuk memohon maaf selain berharap semua orang berhenti memberi kecaman kepadannya.

“Pada 27 Mei 2023, saya dan rakan saya pergi ke salah satu acara kereta terbesar tahun ini iaitu Retro Havoc di The Curve Damansara. Seperti yang anda semua lihat dalam siaran ini, saya dan rakan saya memohon maaf kepada pemilik kereta @yipyeets dan mengaku salah kami pada majlis tersebut.

“Ia satu kemalangan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada malam itu, tetapi kami tidak bernasib baik dan perkara berlaku. Kami baru mengetahui bahawa kes ini menjadi tular, dan kami adalah punca di sebaliknya.

“Saya memutuskan untuk bersuara dan mengaku kepada pemiliknya, yang sangat tenang dan santai. Hanya Allah yang dapat membalas kebaikannya. Seperti yang Yeet (pemilik) katakan, ini boleh menjadi pengajaran untuk kita semua.

“Kita perlu belajar untuk menghormati kereta, atau kita tidak akan dapat lagi melihat pamera kereta untuk dinikmati semua orang. Ini adalah pengajaran sebenar yang dipelajari untuk saya, dan saya sangat berharap anda semua dapat menyebarkan kasih sayang dan mengurangkan negatif.

“Terdapat banyak kecaman yang kita dapat di semua platform media sosial, dan kadangkala ia boleh menyakiti perasaan seseorang. Akhir sekali, saya memohon maaf kepada @yipyeets dan team @craftlab.asia atas kerosakan yang telah kami lakukan,” tulisnya.

Terdahulu lebih 1,000 buah kenderaan vintaj dan 50 buah motosikal retro memeriahkan Retro Havoc yang diadakan pada 27 Mei.

Acara selama satu hari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran jemputan istimewa pembina khas (custom) kereta dari Jepun dan 30 reruai model die-cast di samping seleksi ‘Automotive Lifestyle’ dari Malaysia, Thailand dan Singapura.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohamad.

Menurut pihak penganjur, Alie Kuoppa, edisi 2023 berlangsung meriah dengan lebih 70,000 kehadiran pengunjung direkodkan.

A post shared by ??‍♀️ (@amvlee44)

#RE Amemiya Carbon #Retro Havoc 2023
;