Reversi Satu-Satunya Wakil Malaysia Bertanding Di Festival Filem Far East Udine
Mya Amri
01/04/2024 13:55 MYT
01/04/2024 13:55 MYT
Filem tempatan arahan pengarah Adrian Teh berjudul, Reversi telah dipilih sebagai satu-satunya wakil Malaysia di Festival Filem Far East Udine ke-26 di Itali, yang akan berlangsung dari 24 April hingga 2 Mei 2024.
Sebelum ini filem Abang Adik pernah merangkul anugerah di festival filem tersebut pada tahun 2023.
Bersyukur dengan pemilihan tersebut, Adrian menganggap sebagai satu penghormatan untuk mewakili Malaysia bagi edisi kali ini.
“Ini merupakan satu penghormatan untuk sekali lagi mewakili Malaysia pada edisi tahun ini. Reversi yang menayangkan premier dunia di Itali adalah satu usaha baru bagi saya.
“Saya sangat beruntung dapat bekerjasama dengan kumpulan pelakon dan krew yang luar biasa.
"Cerita in adalah tentang cinta, kehilangan dan tentang apa yang akan terjadi jika kita diberikan peluang kedua.
“Saya berharap untuk berkongsi cerita ini bukan hanya dengan rakyat Malaysia, tetapi juga penonton di dunia dengan harapan cerita ini dapat memberi inspirasi selain menghargai kehidupan dan orang yang kita sayang," ujarnya.
Barisan pelakon hebat
Filem ini menandakan percubaan pertama Adrian Teh dalam genre drama dengan elemen perialanan masa.
Dengan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran dan Hasnul Rahmat, Reversi bersedia untuk memikat penonton dari semua peringkat umur dengan penceritaan yang lebih mendalam dan lakonan yang menyentuh hati.
Adrian sangat berbangga dengan filem terbarunya ini dan berjanji bahawa ini sesuatu yang belum pernah dilihat oleh rakyat Malaysia.
Filem ini diterbitkan bersama oleh ACT 2 Pictures, Clover Films dan Golden Screen Cinemas.
Selepas penayangan di Udine, Itali, Reversi dijadualkan untuk tayangan perdana dalam tahun ini dan diedarkan oleh GSC Movies Sdn Bhd.
Terdahulu, Adrian terkenal dengan filem-filem popular seperti Malbatt: Misi Bakara dan Paskal The Movie.
Sinopsis:
Reversi mengisahkan tentang cinta seorang suami yang tidak berkesudahan kepada isteri dan anak lelakinya, yang berusaha sehabis baik untuk membetulkan kesalahannya pada masa lalu untuk masa depan yang lebih baik.