Ketika Gempak dilayangkan jemputan untuk menghadiri sesi tayangan media filem Kingdom, Gempak tidak menyimpan harapan tinggi menggunung.

Berkesempatan menonton karya yang diangkat daripada siri Manga ini pada minggu lalu, jangkaan awal itu ternyata meleset.

Pada mulanya, Gempak meramalkan filem ini bakal menjadi filem bosan dan mendatar... Tetapi, selepas selesai menontonnya, filem ini tidaklah seburuk yang disangka.

Apa sebenarnya yang menarik dan menghiburkan tentang filem Kingdom?

Gempak senaraikan beberapa info serta sedikit pendapatan dan ulasan mengenai filem Jepun arahan sutradara Shinsuke Sato ini.

1. Karya Pengarah Prolifik

Filem ini mendapat sentuhan Shinsuke Sato. Dia merupakan pengarah yang terkenal dalam mengadaptasi 'anime' kepada filem-filem 'live action' seperti The Princess Blade (2001), Gantz (2011), I Am a Hero (2015), Bleach (2018) dan Inuyashiki (2018).

Karyanya dalam Kingdom tidak mengecewakan. Jalan ceritanya agak menarik dan pastinya akan mencuri perhatian peminat serta penonton, terutamanya peminat 'anime' dan siri Manga.

2. Angkat Tema Persahabatan

Lupakan kisah cinta, sengketa perebutan syarikat nilai berjuta serta kisah kahwin paksa... Filem ini menyajikan tema persahabatan.

Kingdom bercerita kepada penonton mengenai kisah seorang anak muda yang bergelar yatim piatu, Shin (lakonan Kento Yamazaki).

Shin berkawan baik dengan Hyou (lakonan Ryo Yoshizawa) sebagai hamba. Dua sahabat itu mahu keluar daripada kancah kemiskinan dan menanam impian untuk menjadi seorang jeneral.

Cerita ini memaparkan utuhnya Shin yang memperjuangkan segalanya demi hubungan persahabatan dengan Hyou biarpun Hyou terlibat dalam satu tragedi... Nak tahu tragedi apa? Haaa.... Kenalah tengok!


3. Kutipan Box Office Lebih RM188 Juta di Jepun

Bukan biasa-biasa! Mula ditayangkan pada 19 April, filem ini mengutip kutipan pecah panggung di Jepun lebih daripada USD46 juta (lebih RM188 juta) pada 30 Mei lalu.

Filem yang menelan bajet produksi sebanyak USD9.2 juta (lebih RM37.9 juta) ini menerima lebih 3.7 juta penonton di Jepun.

4. Aksi & Pengembaraan Mendebarkan

Sepanjang filem bersiaran, anda tidak senang duduk menyaksikan filem ini kerana babak aksinya yang mendebarkan. Filem ini juga menonjolkan penggembaraan watak utama, Shin dalam mencapai cita-citanya.

Peminat filem aksi Jepun pastinya puas melihat barisan pelakon filem ini mempamerkan kebolehan mereka dalam filem Kingdom!

5. Peminat Manga Wajib Tonton!

Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah siri Manga karya Yasuhisa Hara dan diterbitkan oleh Shueisha sejak tahun 2006. Siri Manga popular itu kini telah diterbitkan sebanyak 54 siri dan ia telah dijual lebih daripada 40 juta cetakan di seluruh dunia.

Jangan risau untuk menontonnya kerana filem berdurasi 134 minit dengan klasifikasi P13 ini mempunyai sarikata Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Filem Kingdom mula ditayangkan pada 18 Julai ini.

Rating Gempak: 3.8/5