Hiburan
[REVIEW] Inilah Filem Aksi Yang Sepatutnya Dihasilkan! Wira Buat Ramai Penonton U-Turn?
Selepas kejayaan PASKAL The Movie yang mengutip kutipan pecah panggung sebanyak RM30 juta, pengarah Adrian Teh kembali dengan naskhah terbaru Wira.
Masih menampilkan pelakon utama Hairul Azreen sebagai (Hassan Munas), filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Din Said (Raja), Ismi Melinda (Vee), Josiah Hogan (Rayyan) dan pelakon seni bela diri Indonesia Yayan Ruhian (Ifrit).
Malah, buat pertama kalinya pelakon Fify Azmi turut muncul di layar perak sebagai Zain iaitu adik kepada Hassan.
Jika melihat pada rekod cemerlang Adrian, pastinya penonton meletakkan harapan tinggi pada Wira bukan?
Jadi adakah ia berjaya? Adakah filem ini wajib ditonton? Ini ulasan penuh Gempak!
#1 Jalan Cerita Ringkas Walaupun Penuh Konflik
Wira mengisarkan seorang pegawai tentera, Hassan yang pulang untuk menyelamatkan keluarganya daripada ditindas oleh Raja, seorang ketua yang berpengaruh di kawasan tempat tinggal mereka.
Konflik berlaku apabila Raja mencabar Hassan dan adiknya, Zain untuk bertarung di dalam gelanggang bagi melangsaikan hutang.
Secara jujurnya, Wira boleh dianggap sebagai sebuah naskhah yang agak 'straight foward' dan tidak terlalu meleret.
Baik drama kekeluargaan atau aksi pergaduhan, Adrian bijak menyusun plot dengan baik supaya penonton tidak terasa bosan atau mengantuk ketika menonton.
Malah, babak awal saja, Wira telah berjaya menangkap perhatian penonton untuk menantikan aksi seterusnya.
Jika anda mahu menonton filem aksi yang tidak terlalu berat, Wira antara contoh yang terbaik.
#2 Sinematografi Yang Agak...
Apabila pertama kali menonton filem ini, penulis sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi pada aspek sinematografi kerana ia adalah sebuah filem aksi.
Kali terakhir menonton filem aksi dengan 'shot' yang cantik adalah filem Sangkar. Namun ia tidaklah begitu hairan kerana ia dihasilkan oleh Khabir Bhatia.
Namun untuk Wira, penulis agak terkejut kerana babak dalam filem ini juga mempunyai 'shot' yang sedap mata memandang.
Difahamkan, terdapat satu babak yang mana Hairul Azreen terpaksa beraksi dengan hanya satu 'shot' saja manakala juru kameranya saling bertukar sebanyak empat kali.
Jika anda belum menontonnya, fokuslah pada babak di dalam kilang sebelum Hairul terjun daripada ketinggian empat tingkat. Power guys!
Selain itu, terdapat juga babak pertarungan di dalam bas yang bakal buat anda tergamam.
Gaya 'slow motion' pada pertengahan babak tersebut boleh buat anda 'goosebump'.
#3 Aksi Level Hollywood Buat Penonton Tak Senang Duduk
Pelakon dalam Wira bukanlah diambil secara 'tangkap muat' kerana difahamkan kesemua mereka mempunyai asas dalam bidang seni bela diri.
Pemilihan Hairul sebagai watak utama juga nampak releven memandangkan dia pernah menjadi pelakon lagak ngeri sebelum ini.
Ditambah pula koreografi 'fighting' Wira dihasilkan oleh Yayan Ruhian sendiri yang sememangnya terkenal dalam filem aksi seperti The Raid dan John Wick.
Kesemua pelakon juga telah menjalani latihan selama tiga bulan sebelum 'turun' di set penggambaran.
Hasilnya? Penulis berani katakan inilah filem aksi terbaik pernah dihasilkan di Malaysia!
Pembukaan filem ini saja sudah meyakinkan, mana lagi nak lihat pertarungan 'fighter' wanita di layar perak bukan?
Aksi pertarungan pelakon utamanya pula tidak perlu disangkal dan mungkin sebab itu jugalah Adrian masih mengekalkan Hairul Azreen.
Apa yang boleh penulis katakan, aksi pertarungan di kemuncak filem ini sangat 'bad ass'. Terkesima, terkedu, tergamam, semuanyalah!
#4 Lakonan Kelas A Pelakon...Antagonis
Sebelum penulis memberi kredit kepada watak antagonis, pujian juga harus diberi kepada Fify Azmi yang melakonkan watak Zain.
Yes, tidak dinafikan dia sangat baru dalam industri, tapi lakonannya dalam Wira amatlah cemerlang.
Selain wajahnya yang 'fresh', bahasa tubuh dan gerak-gerinya sewaktu melakonkan lagak aksi sangat meyakinkan.
Tahniah dan tidak mustahil Fify mampu tercalon untuk pelakon harapan terbaik dalam mana-mana anugerah perfileman.
Berbalik pada watak antagonis, ia dilakonkan oleh Dain Said sebagai Raja.
Satu perkataan untuk menggambarkan lakonan Dain Said adalah 'Outstanding'. Lakonannya sangat berkelas dan bukan watak gangster lapuk yang kebiasaannya diterjemahkan pada filem sebelum ini.
Lontaran suaranya, bahasa 'rojak' yang digunakan serta gerak tubuh Din Said sangat berkelas!
Gaya Din Said ini mengingatkan penulis terhadap watak dilakonkan Hasnul Rahmat dalam Polis Evo 2. Watak antagonis yang berkelas tinggi.
Hairul juga semakin hebat dalam membawakan watak yang lebih berat dan emosi.
Lakonan Datuk Hilal Azman sebagai ayah Hassan juga tidak perlu dipertikaikan. Kudos!
#5 Kejutan Demi Kejutan Serta Babak Akhir Yang 'Mind Blown'
Penuh kejutan, itu yang boleh penulis rumuskan tentang filem ini.
Terdapat beberapa babak yang penulis tidak jangka dipaparkan dalam filem ini.
Antaranya adalah babak Zain dipaksa makan makanan haiwan, babak terjun dari tingkat empat serta beberapa lagi babak pertarungan yang sukar kita lihat dalam karya tempatan. Sebab itulah Wira dilabel sebagai filem yang setanding Hollywood.
Namun, paling membuatkan penulis dan ramai teruja adalah babak 'kredit' di pengakhir filem ini. Epik!
Tidak sabar rasanya nak tahu apa yang bakal dihasilkan oleh Adrian dalam tempoh akan datang.
Adakah Wira Wajib Ditonton?
Secara keseluruhan, filem ini bakal meletakkan penanda aras yang tinggi untuk filem bercorak aksi tempatan.
Adrian Teh meneruskan rekod cemerlangnya dengan penghasilan satu lagi filem berkualiti.
Rugi sekiranya anda tidak menonton filem sebagus ini.
Jika anda memandang rendah terhadap filem ini, anda pastinya akan membuat pusingan U-turn selepas selesai menonton!
Tak percaya tontonlah!
Rating Gempak: 4/5