8.35 malam, Isnin, 5 Ogos; Nama Samihah Omar bergema diseru oleh maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS di Dewan Filharmonik Petronas.

Venue yang menyaksikan deretan penghibur antarabangsa sebelum ini akhirnya menjadi saksi anak kelahiran Kelantan yang membawa nama pentas Misha Omar beraksi untuk konsert khas This Is Misha - Live at DFP.



Tempoh panjang 17 tahun yang dibuku di hati untuk sebuah persembahan eksklusif seperti ini tutur Misha menjadi momen paling dinanti-nanti.

"17 tahun bukan satu masa yang singkat, tipulah kalau saya kata saya tak tunggu. Tipu... Tipu...

"Sebagai penyanyi yang selalu mencuba, saya pernah ada ketikanya saya letih. Apa lagi saya perlu buat?

"Melihat setiap tepukan dan senyuman di bibir semua yang hadir saya rasa sangat berbaloi... Rasa macam mimpi," kata Misha menyeka air mata.

Misha pada malam itu tampil elegan dengan persalinan rona tanah rekaan Brian Khoo. Kata Misha momen yang ingin diraikannya kali ini umpama temujanji pertama dengan kekasih.

Mengotakan janjinya, Misha melantunkan untaian lagu malar segarnya mengajak audiens bersama-sama larut bersama melodi dan bait lirik indah yang melayarkan namanya.

Sesekali Misha bercanda, mengenang kembali tahun mulanya dia melangkah ke gelanggang seni dan adakalanya mengusik Ramli.

"Masa pertama kali jumpa dulu, Tok Ram panggil saya 'lembu'. Panggilan itu yang melekat sampai sekarang kadang-kadang kalau kami mahu bergurau," katanya berselang.



Misha membuka gelanggang dengan lagu Cinta Adam & Hawa yang dimedleykan bersama Sembunyi sebelum meneruskan lagu yang menjulang namanya semula sejak tahun lalu, Sampai Bila.

Vokal mendayu-dayu Misha dileburkan pula dalam medley runut bunyi Pontianak Harum Sundal Malam, Pulangkan dan Ku Seru.

Nafas Cahaya, lagu ciptaan Datuk M. Nasir yang dijalin kemas Misha pada pertengahan konsert sebelum diteruskan dengan Dedebu Cinta dan Jawapanmu. Tak ada satu pun lagu yang tidak mampu dinyanyikan bersama Misha pada malam itu.

Tapi Misha kejam! Pengakhir konsertnya ditutup dengan segmen air mata bersama medley Semoga Abadi dan Riwayat Cinta yang diberi nafas baharu.

Barangkali tidak salah untuk kami sifatkan Riwayat Cinta yang beriring petikan piano Ramli semata-mata itu merupakan persembahan terbaik Misha pada malam itu.

Membuai-buai, pilu dan terasa sakitnya!

Menutup kemas dengan Bunga-Bunga Cinta, audiens seolah-olah enggan melepaskan Misha pergi pada malam itu, mendambakan konsert berskala besar untuk suatu masa nanti. Memang benar 80 minit This Is Misha itu tidak cukup.

Terima kasih Misha.



Foto: DFP, @zamieparis