Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini atau akronimnya NKCTHI. Itu adalah judul sebuah filem.

Iya, penulis faham ia sebuah judul yang panjang, tetapi percayalah seperti unik dan bersifat realitinya tentang apa yang selalu akan kita bicarakan tentang masa silam atau akan datang, kita selalu mengguna kata 'nanti kita cerita tentang hari ini' jika ia adalah sebuah rahsia yang mungkin bukanpun rahsia. Ia hanya tidak diceritakan kerana mungkin belum tepat masa.

Maaf, ia sebuah mukadimah yang panjang. Tapi itulah ringkasnya menjelaskan metafora di balik NKCTHI, filem ke 13 yang digarap oleh sutradara prolifik Indonesia, Angga Dwimas Sasongko.

Diadaptasi dari buku laris karya Marchella FP, yang berisi kumpulan pesan pengalaman peribadi seseorang, NKCTHI yang diputar di layar lebar adalah sebuah filem yang mengajak emosi kita turun naik.



Ringkasnya, NKCTHI menceritakan tentang kehidupan keluarga Narendra yang mempunyai tiga orang anak iaitu Angkasa, Aurora dan Awan.

Konflik mereka dileburkan cantik oleh Angga dengan hanya sebuah rasa dari sang ayah yang tidak mahu ada kesedihan di keluarganya.

Lantas seboleh mana ia merahsiakan hal besar di keluarga mereka dengan tanpa sedar telah menjerut sekali emosi sang isteri dan tiga anaknya yang sempat saling punya prasangka terhadap hubungan adik beradik dan membenci aturan orang tua.

Sungguh, ia bukan sebuah cerita yang terlalu dibuat buat konflik atau pemicu untuk menjadikan sebuah filem ini melepasi durasi 1 jam 30 minit. NKCTHI adalah sebuah filem yang dekat dan kemudian perlahan lahan melekat di hati. Kerana apa? Kerana digarap tidak berlebihan dan bersifat realiti.

Selain konflik, sinematografi, syot dari segala sisi dan lagu lagu yang diguna di filem ini cukup 'cocok' dan bersanding dengan editing tiga fasa masa yang cukup kemas.



Baik, penulis tidak mahu membuka terlalu banyak bocoran tentang NKCTHI yang ditaburi bintang papan atas Indonesia termasuk Rio Dewanto, Donny Damara, Oka Antara, Niken Anjani, Sheila Dara Aisha, dan Rachel Amanda.

Anda yang punya keluarga, bakal berkeluarga, baru berpacaran atau si solo yang cuba cuba mengenal cinta wajib menonton NKCTHI. Pasalnya seluruh emosi atau perasaan dari bahagia sehingga duka yang dekat dan lekat dengan kita ada di sini. Ada di NKCTHI.

Oh sebagai peringatan; sediakan tisu kerana anda akan terbawa emosi tentang bagaimana keluarga anda punya kemiripan di filem ini.

Sang ayah yang terlalu mengongkong kerana trauma, sang ibu yang memendam luka trauma, sang anak sulung yang dibebankan dengan amanah amanah, anak kedua yang terpinggirkan dan anak bongsu yang ditatang selalu.

Mirip? Okay, selamat menonton semua.


----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Filem popular Indonesia ini menyaksikan gabungan kerjasama Astro Shaw bersama penerbit yang sering memenangi anugerah utama di Indonesia, Visinema Pictures yang juga merupakan penerbit filem animasi terkenal Indonesia, NUSSA, bersama IDN Media, Blibli.com serta XRM Media.

Apapun, jangan lupa untuk menyaksikan NKCTHI di Astro First saluran 480 dan On Demand bermula 23 April ini.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem NKCTHI, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.

Oleh: Maliah Surip