HIBURAN

‘Rezeki Last Minute’ Hael Husaini, Siti Nurhaliza Hadir Meriahkan Konsert Sulung - “Dia Contact Kata…”

Asyraf Roslan 09/08/2025 | 03:55 MYT

Penyanyi, Hael Husaini meluahkan rasa syukur selepas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersetuju untuk hadir ke konsert sulungnya iaitu Hael Husaini & Repertoire.


Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, pelantun lagu Anta Permana itu hampir tidak dapat memenuhi undangan kerana kenkangan masa dan hanya dapat pengesahan daripadanya dua hari sebelum konsert berlangsung.

“Kalau nak ikutkan nak yakinkan Datuk Seri Siti itu bukanlah susah sebab kita tahu biduanita kita memang akan beri kerjasama, sudah tentu.

“Tapi sebenarnya dia tidak dapat datang pada awalnya kerana kenkangan masa cuma last minute dia contact kata datang nak singgah dan confirmation itu diberikan dua hari sebelum konsert.

“Saya rasa itu memang rezeki saya untuk dapatkan dia datang dan berikan kejutan walaupun awal-awal mesti ada yang ingat kenapa saya nyanyi sumbang,” katanya.

Dalam pada itu, Hael juga akui meminta kebenaran suami Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Mohamad Jiwa untuk menjemput Siti membuat kemunculan di konsertnya.

Bagi Hael, tiada masalah untuknya meminta izin daripada Datuk K terlebih dahulu memandangkan Siti Nurhaliza merupakan isteri orang.

“Benda itu normal, sudah tentu Datuk Seri Siti Nurhaliza mempunyai suami.

“Jadi kita man to man berjumpa untuk minta izin, itu paling penting dan bila dapat kebenaran daripada Datuk K dan alhamdulillah perkara itu dapat dilunaskan pada malam ini.

“Terima kasih banyak kepada pihak pengurusan saya, Datuk K, Kak Rozi dan semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini,” tambahnya.

Siti Nurhaliza tampil memberikan kejutan kepada peminat yang hadir dengan menyanyikan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong iaitu Anta Permana.

Hampir 3 jam berlangsung, Hael mempersembahkan lebih kurang 24 buah lagu nukilannya bersama bintang jemputan antaranya Nadeera Zaini, Wany Hasrita, Nabila Razali, Dayang dan kumpulan Alpha.

Hael Husaini & Repertoire berlangsung dengan jayanya di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.
#Konsert #Hael Husaini #Datuk Seri siti Nurhaliza #Kejutan