Bekas peserta Gegar Vaganza musim ketiga (GV 3), Azharina mengakui rezekinya bertambah murah selepas bergelar juara program realiti tersebut.

Azharina, 32, berkata, dia bersyukur kerana selepas GV 3 tawaran menyanyi sering datang kepadanya dan yang terbaru, bakal mengadakan showcase ‘Azharina Live at Hard Rock Café Kuala Lumpur’ pada 26 Mac ini.

Penyanyi kelahiran Sabah itu turut berkongsi rasa terujanya untuk bertemu peminat pada malam showcase tersebut nanti.

“Showcase itu nanti akan berlangsung selama empat jam bermula pukul 3 petang. Tidak sabar rasanya untuk bertemu peminat selepas keluar GV.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Hard Rock Cafe & Melody United Music kerana buat impian saya menjadi kenyataan,” katanya kepada Astro Gempak.

Ditanya mengenai persediaannya menjelang showcase sulungnya itu, Azharina memberitahu sudah hampir 60% persiapan dilakukan.

“Hanya tinggal beberapa perkara lagi yang perlu diperbaiki seperti menghafal lirik dan menghafal langkah tarian.

”Saya janji kepada semua peminat yang showcase ini nanti akan berbeza daripada apa yang pernah dilihat dalam GV sebelum ini.

“Saya amat cerewet dalam pemilihan lagu. 12 lagu yang bakal saya nyanyikan nanti adalah hasil perbincangan dengan pemuzik iringan dan hasil daripada pilihan peminat saya sendiri,” ujarnya teruja.

Selain itu, Azharina turut mengundang beberapa penyanyi baru yang bakal membuat penampilan istimewa iaitu Kris Patt, Wafi dan Maisara Ukulele.

Antara lagu-lagu yang bakal didendangkan pada malam itu nanti ialah Penasaran, Cheap Thrills, Kejora Ku Bersatu, Proud Mary, Rawan, Hotel California, Sekian Terima Kasih dan banyak lagi.

Peminat yang ingin membeli tiket boleh layari http://airaisredtix.com atau boleh terus ke kaunter jualan di Hard Rock Shop, Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur dengan harga bermula RM 84.00 hingga RM 304.00.


Teks oleh : Izzat Ridzwan
Foto : IG @azharina_a