Hiburan
Ricky Martin Bertunang Dengan Kekasih Sejenis Dari Syria
Penyanyi yang popular dengan lagu Livin 'La Vida Loca, Ricky Martin, mengakui sudah bertunang dengan kekasih sejenis.
Menerusi sebuah wawancara dalam program The Ellen Show, Ricky berkata, dia telah mengikat tali pertunangan bersama Jwan Yosef, meskipun hubungan perkenalan mereka tidak sampai setahun.
Ricky dilihat tanpa segan silu untuk berkongsi perkara gembira dalam hidupnya ini kepada umum malah dia juga berkongsi cerita mengenai pertemuan awal mereka dalam rancangan tersebut.
Tambahnya lagi, kekasihnya itu merupakan seorang pelukis dan pada awalnya dia amat tertarik dengan karyanya itu sebelum mengambil keputusan untuk mengenali kekasihnya itu dengan lebih rapat.
"Pada awalnya, saya cuma mengenalinya sebagai seorang pelukis dan saya amat kagum dengan lukisannya itu.
"Selepas itu hubungan kami semakin rapat sehinggalah suatu hari itu saya menyatakan hasrat untuk melamar lelaki dari Syria itu," katanya.
Sementara itu, dengan reaksi sedikit malu-malu, penyanyi berusia 44 tahun itu mengaku bahawa dia masih menggunakan cara klasik dan romantis untuk melamar kekasihnya itu.
Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi