Pendakwah selebriti Mohd Ridhuan Tee Abdullah akhirnya tampil bersuara selepas kontroversi video berpeluk dan bercumbu seorang lelaki mirip anaknya, Syafi Tee minggu lalu.

BACA: Rakaman Video Lelaki Mirip Pelakon & Anak Pendakwah Berkucupan Dengan Wanita Viral Di TikTok?

Bapa kepada pelakon lelaki itu berterima kasih kepada wargamaya yang tampil memberikan nasihat dan teguran kepada anaknya itu.

"Saya akan tetap bersuara. Sehari dua ini heboh dan viral habis cerita tentang anak saya dan dilibatkan dengan saya. Hari ini, saya tampil untuk menjawab.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ramai yang mengambil berat tentang saya dan anak saya. Ramai yang sayang saya dan keluarga saya.

"Kepada yang bersama saya, memberikan nasihat, menegur cara baik, moga Allah merahmatimu. Kepada yang bertepuk tangan dan bergembira, terima kasih juga seadanya.

"Apa yang berlaku, tidak akan menghalang saya untuk meneruskan kehidupan ini. Saya akan terus melaksanakan kewajipan saya sebagai seorang Muslim, menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, sama ada secara lisan mahupun tulisan.

"Ambil iktibar apa yang berlaku di Indonesia, ada segelintir ulamak dan ilmuan berdiam diri, tidak menegur kehidupan artis, akhirnya ramai artis tersasar.

"Apakah kita mahu itu juga berlaku kepada artis-artis kita? Mereka mesti diselamatkan jika tersasar kerana itu tanggungjawab kita semua.

"Saya akan terus menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, meskipun ia berlaku kepada anak sendiri," tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Akui kelemahannya dalam mendidik anak-anak, tambah Ridhuan, dia kerap memberikan nasihat kepada Syafi sepanjang bergelar anak seni.

"Benar sekali, iman tidak dapat diwarisi. Tidak dapat dijual beli. Moga semua ini tidak terjadi kepada kalian semua. Ya, saya akui saya ada kelemahan. Saya tidak sempurna.

"Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina dina ini, tetapi saya telah melakukan yang terbaik, untuk semua anak saya seramai enam orang. Begitu juga saudara mara saya. Selebihnya saya berserah…Saya pasrah…

"Syafi Tee, anak kedua ini lebih meminati bidang seni setelah tamat belajar.

"Sebagai bapa saya telah menasihatinya tentang dunia seni, yang telah saya ceburi semenjak memeluk Islam, lebih 30 tahun. Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni artis hiburan.

"Saya tidak melarang, cuma mengingatkan agar pandai membawa diri. Pastikan bidang seni hiburan boleh membawa kita ke syurga. Pastikan seni dapat mendidik anak bangsa. Titipan demi titipan.

"Namun, apakan daya Allah mahu menguji hambaNya yang kerdil ini," ujarnya yang akan terus menegur dan menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.