BERITA

Ridzokumura Nafi Ubatan Arwah Isteri Dirampas, Serah Sendiri Kepada Polis

Gempak 08/03/2025 | 02:25 MYT

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura menafikan pihak polis merampas enam ubat di kediamannya bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura.

Sebaliknya, Ridzuan atau nama sebenarnaya Abd Ridzuan Abdul Mutalib berkata, beliau sendiri menyerahkan ubat-ubatan berjenama Jepun itu kepada pihak berkuasa.

Malah menurutnya, kenyataan bahawa pil ubatan berkenan dirampas amat mengguris hati kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tanggapan negatif daripada orang luar.

"Abang beri kerjasama kepada pihak polis, tanya sekiranya mereka ingin tahu (mengenai) ubat-ubatan Jepun yang diambil oleh Akiko.

"Memang dia (Akiko) ada ambil ubat Jepun, biasalah dia tentu percaya dengan ubatan dari negara itu.

"Tetapi bila abang terbaca berita yang memaklumkan polis rampas ubat itu, ia sangat menghiris hati sebab ubat itu bukan dirampas tetapi saya berikan sendiri kepada polis," katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada Jumaat.

Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan memaklumkan, pihaknya merampas enam jenis ubat-ubatan dari kediaman usahawan itu bagi membantu siasatan.

Akiko yang merupakan warga Jepun maut terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya pada Jumaat lalu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui setakat ini.

Dalam pada itu Ridzuan memberitahu, beliau tidak berniat untuk meminta simpati orang ramai sebaliknya hanya ingin mendedahkan perkara sebenar kepada mereka yang mengikuti kisah kematian isterinya.

"Tolonglah hentikan, saya bukannya mahu minta simpati tetapi janganlah keluarkan kenyataan seumpama itu. Saya cuma mahu betulkan keadaan.

"Sky (anak Ridzuan) sedang membesar, apa perasaan dia bila baca mengenai ubat itu dirampas, sudah tentu dia sedih," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
#Polis #Rampas #Ridzokumura #Ubat