Pendatang baru, Rief Daniel tidak berputus asa walaupun dua lagu balada yang dihasilkan sebelum ini kurang dikenali.

Terbaru, Rief atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi, 24, muncul dengna buah tangan terbaru berjudul Aku Solo.

Rief berkata idea untuk menghasilkan Aku Solo muncul selepas berkongsi hal peribadinya bersama penyanyi rap Yonnyboii (Nuriman) yang juga penggubah lagu ini.

“Ada satu hari tu, saya pergi ke rumah Yonnyboii untuk menghasilkan sebuah lagu. Yonnyboii bertanya tentang hal peribadi saya dan saya menceritakan semuanya.

“Dia nampak apa yang saya sedang hadapi, padahal saya sendiri tidak tahu bahawa saya berasa kesunyian kerana tiada pasangan disamping saya.

“Saya menceritakan semua masalah saya tetapi dia hanya nampak masalah saya adalah ‘pasangan’,” katanya.

Rief berkata ketika proses rakaman dia mengubah cara nyanyian dari balada ke genre pop.

“Jika sebelum ini saya lebih ke arah rentak balada, namun kerana Yonnyboii merasakan kehadiran saya memberi impak positif dan kegembiraan kepadanya lalu dia menggubah lagu ini kepada genre pop.

“Alhamdulillah, selepas saya dapat rentak nyanyian dan cara saya tersendiri dalam lagu ini, saya rasa lagu ini memang kena sangat dengan diri saya dan melodinya juga sangat unik serta boleh menangkap perhatian pendengar,” katanya.

Harapan Rief hanya mahu semua pendengar merasai dan cuba untuk memahami satu per satu lirik dan melodi yang telah dihasilkan.

“Percayalah, anda akan rasa apa yang saya rasa. Saya juga berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan baik dan dengan izin Allah, harap-harap lagu ini akan diminati ramai dan boleh memberi impak yang positif dan kuat kepada pendengar.

“Sama-sama kita menyuarakan apa yang kita rasa…Jangan risau lagu ini hanya mengambil masa 2 minit 45 saat sahaja, saya rasa lagu ni lagu terpendek kot,” katanya.

Aku Solo adalah percubaan ketiga Rief bagi menempatkan dirinya dalam bidang ini agar lebih dikenali.

Plan E Solutions telah melamar Rief Daniel untuk bernaung dibawah pegurusan mereka.

Aku Solo mengisahkan tentang seseorang yang tidak mempunyai teman disampingnya dan berasa sunyi kerana tiada sokongan daripada seorang yang bergelar kekasih.

Sungguhpun begitu, dia masih tersenyum bagi menyimpan isi hati yang terpendam.

Aku Solo kini sudah boleh didengari di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox.

Muzik videonya pula sudah ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak 26 Februari lalu.