Pesohor Rihanna akhirnya memperkenalkan wajah anak lelakinya buat pertama kali kepada peminat selepas menjadi ibu.

Pasangan rapper A$AP Rocky itu melahirkan anak mereka pada 13 Mei 2022, namun tidak pernah mendedahkan bayi tersebut kepada umum.

Namun pada hujung minggu lalu, penyanyi Life Me Up itu dilihat telah berkongsi video bayi lelakinya di TikTok. Perkongsian video dengan durasi sekitar 45 saat tersebut telah membuat ‘heboh’ dunia maya, lapor Insider.

Dalam video tersebut, Rihanna juga menulis kapsyen ringkas berbunyi: “Hacked”.

Rihanna dilihat mengambil video beberapa aksi dan reaksi anaknya ketika mereka berada di dalam kenderaan.

Terdahulu pasangan selebriti tersebut mengumumkan sedang menanti kehadiran cahayamata mereka pada Januari 2022.

A$AP Rocky melabelkan Rihanna sebagai ‘wanitaku’ dan cinta dalam kehidupannya.

Dua tahun sebelum benar benar melahirkan anak, Rihanna pernah bercakap tentang keinginannya menjadi ibu. Dalam temu bual bersama British Vogue, dia mengatakan mahu memiliki sehingga empat anak dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara dalam temubualnya bersama Entertainment Tonight pula, dia berbagi pengalaman paling menarik menjadi seorang ibu adalah dengan menghabiskan masa di pagi hari.

“Saya sangat sukakan momen di waktu pagi. Bangun, buka mata dan melihat dia yang pertama di depan mata! Ia sangat comel dan mengagumkan,” ujarnya.