“Rindu Mak... Bila Mak Disahkan Hidap Alzheimer, Saya...” - Dr Hafiz Sebak Kongsi Tentang Ibu
Mya Amri
03/12/2020 02:40 MYT
03/12/2020 02:40 MYT
Penyanyi dan bekas bintang Big Stage 3, Dr Hafiz Zainal akui terlalu rindukan ibunya.
Menurut Hafiz, dia merindui sosok dan kondisi ibunya yang dulu iaitu sebelum disahkan menghidap penyakit Alzheimer pada 2017.
“Bukan apa, dulu pada zaman sekolah apa saja saya mesti mengadu pada mak. Selepas mak disahkan menghidap Alzheimer, keadaan dirinya sudah tidak sihat.
“Apabila melalui detik sukar dan sedih sepanjang dalam Big Stage, saya tak dapat mengadu dengan mak. Jadi rasa kehilangan dan rindukan mak dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz juga menjelaskan lirik lagu terbaharu yang berjudul Rindu dihasilkan berdasarkan kisah kerinduannya terhadap ibu.
“Lirik lagu ini adalah kisah benar saya. Semasa dalam Big Stage boleh dikatakan setiap hari saya ada latihan dengan Akim dan Stacy.
“Kami sentiasa bincang konsep persembahan. Nak dijadikan cerita, pada minggu pertama, saya mendapat dua markah.
“Diakui ia sangat menyedihkan buat saya. Akim dan Stacy yang ada bersama-sama dari awal melihat saya lalui kesusahan itu.
“Selepas konsert pertama itu, saya ke rumah Akim dan Stacy untuk latihan minggu kedua.
“Kebetulan Cikgu Syafi yang juga guru vokal program berkenaan menghubungi saya untuk bertanya dan menenangkan saya. Ketika itu saya terus menangis.
“Cikgu Syafi pula saya sudah anggap macam mak, jadi saya lepaskan semua pada dia. Ketika itu juga, Stacy ‘korek’ lebih banyak lagi cerita mengenai saya.
“Jadi lirik ini dihasilkan berdasarkan kisah kerinduan saya terhadap mak,” jelasnya.
Hafiz juga berkongsi, ketika proses rakaman lagu dia membuat permintaan untuk merakamkan lagu dalam studio yang gelap.
“Bagi mendapatkan penghayatan, saya minta mereka untuk gelapkan studio. Saya mahu menyampaikan lagu ini dari lubuk hati yang dalam. Kiranya, lagu ini saya memang lepaskan sepenuhnya.
“Malah, daripada semua yang dirakamkan sebelum ini, lagu Rindu betul-betul menyentuh jiwa saya kerana liriknya dibuat khas berdasarkan kisah benar saya,” katanya.
Menariknya lagi, muzik video rasmi lagu Rindu yang dilancarkan di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada 27 November lalu adalah terjemahan daripada lirik lagu itu.
“MV ini adalah visual daripada lirik lagu Rindu. Jalan cerita turut memaparkan saya membuat panggilan dan berborak betul dengan mak. Malah, ada juga diletakkan gambar mak.
“Adik saya yang baru menonton MV ini menangis, begitu juga dengan rakan-rakan. Malah, mereka tidak menjangka lirik dan jalan cerita dalam MV ini adalah mengenai mak saya.
“Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan untuk lagu dan MV ini sangat baik. Banyak komen yang diterima mengakui suka dan dapat merasai kerinduan yang dilalui,” katanya.
Selain itu, Hafiz juga mengharapkan single tersebut dapat diterima baik sekali gus membawa kerjaya seninya jauh ke depan.
“Ini adalah single kelima saya. Saya bersyukur dapat platform Big Stage.
“Alhamdulillah, semakin ramai orang kenal dan sudah semestinya besar harapan saya agar single ini diterima baik. Saya nak orang ‘feel’ nyanyian saya dalam lagu ini
“Macam penyanyi lain, saya teringin lagu ini dicalonkan dalam program Muzik Muzik dan carta radio lain.
“Malah, saya berharap lagu ini dapat dimainkan di stesen radio tempatan. Nak juga dengar lagu sendiri keluar radio,” ujarnya.
Single kelima Hafiz terbitan Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR) sudah dilancarkan secara rasmi di semua pelantar muzik digital sejak 6 November lalu.
Lagu ciptaan Hang Nadim, Bunga Cantik dan Freddy serta lirik oleh Bunga Cantik itu adalah luahan dan isi hati Hafiz terhadap ibu kesayangannya.