Hiburan
Rindu Untuk Aktif Berlakon, Tya Arifin Akur Dengan Prioriti Terhadap Keluarga & Perniagaan
Pelakon Indonesia, Tya Arifin akui sudah lama meninggalkan bidang lakonan sejak bergelar ibu kepada dua orang anak.
Jelas Tya, dia rindu untuk kembali aktif namun komitmen sekarang adalah pada keluarga dan perniagaan.
"Sebenarnya, saya sendiri sudah lupa bila kali terakhir melibatkan diri dalam bidang lakonan.
"Agak lama juga saya bercuti selepas melahirkan kedua-dua anak saya.
"Saya sebenarnya rindu untuk kembali aktif berlakon tetapi kini prioriti adalah pada keluarga dan perniagaan.
"Insya-Allah suatu hari nanti saya akan lakukan satu projek besar khas untuk karier saya," katanya kepada Gempak.
Tya ditemui di majlis tayangan perdana filem Misi Operasi X di e@Curve, Damansara.
Tambah isteri kepada anak tiri penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, dia tidak sewenangnya menolak tawaran lakonan yang ditawarkan.
"Saya tidak menutup peluang untuk sebarang tawaran yang ingin diberikan kepada saya.
"Saya seorang yang bersifat terbuka. Masa boleh disusun untuk keluarga dan perniagaan yang sedang diuruskan.
"Saya akan buktikan saya mampu lakukan yang terbaik, doakan untuk saya," katanya lagi.
Selain Tya, filem M.O.X juga turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Ebi Kornelis, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan ramai lagi.
Filem arahan Datuk Zulkiflie M. Osman ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 21 November 2019.
Must-Watch Video