BERITA
Risteena Berhabis Ratusan Ribu Ringgit Untuk Mulakan Bisnes
Pelakon jelita, Risteena Munim sanggup membelanjakan hasil pendapatan lakonannya selama lima tahun untuk menceburi bisnes produk kecantikan.
Jelasnya, ini adalah kali pertama dia melabur sebagai rakan kongsi dibandingkan hanya menjadi duta produk sebelum ini.
Malah, dia percaya dengan status sebagai artis dapat membantu dirinya untuk memasarkan produk.
"Untuk permulaan ini memang banyak modal tapi saya berharap ada pulangan yang berbaloi nanti," katanya kepada Astro Gempak.
Risteena ditemui pada majlis Penjenamaan Semula Produk Beauty & Skincare dan pengumuman Risteena Sebagai Pengarah Urusan Cantik Dara Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, dia pernah menolak tawaran daripada individu sebelum ini yang bersikap mahu mengambil kesempatan terhadapnya.
"Dulu saya pernah mendapat pebagai tawaran lebih daripada sebagai duta dan rakan kongsi tetapi bukan ditaja.
"Didekati pernah tapi saya fikir jika seseorang itu mendekati saya dengan niat lain dan tak ke mana buat apa. Niat saya satu saja nak cari duit dan bisnes ini saya nampak boleh buat duit," katanya.
Risteena memberitahu, dia mahu mencuba perniagaan ini kerana tahu pelakon tidak selamanya mendapat tawaran berlakon.
"Suatu hari nanti saya mungkin tiada 'job' dan orang bertanya Risteena buat apa sekarang. Saya tak nak macam tu sebaliknya ada bisnes yang boleh saya 'survive'," katanya.
Ujarnya, dia tidak mahu mengambil kesempatan terhadap orang lain tetapi beranggapan selagi dikenai peminat, dia yakin produk yang dijual tidak menipu pengguna.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Must-Watch Video