Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila seorang guru bernama Mohd Fadli Salleh Mohamed Salleh atau Cikgu Fadli mendakwa dirinya akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Menerusi beberapa keping gambar surat yang dikongsikan, Cikgu Fadli berkata yang dia berdepan dengan tiga pertuduhan.

Tiga pertuduhan tersebut adalah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Cikgu Fadli juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak menggunakan Facebook.

Menerusi tinjauan Gempak, ramai yang memberikan sokongan terhadap Cikgu Fadli. Selain mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, pelakon Rita Rudaini turut melahirkan sokongan terhadap Cikgu Fadli.



“Kan dah cakap… orang yang jujur, orang yang buat kerja baik atau betul akan ditindas, akan dipijak, akan dibenci.

“Kena perangai sy*it*n sikit, bawa blower besa-besar, lidah kena bercabang tujuh, muka kena tampal plastik tujuh lapis, bertukar jadi lembu, barulah orang sayang, barulah orang lambung sampai bulan.

“Sekarang kerja apa pun memamg kena macam ni barulah boleh cari makan. Kami support Cikgu Fadli,” tulisnya di Instagram.

Dalam perkembangan lain, Cikgu Fadli diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!