Pelakon Rita Rudaini, 44, menyatakan dia bukan seorang ibu yang sempurna justeru dia memilih untuk tidak berahsia dengan kedua orang puteranya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Menurut Rita, sikapnya yang tegas itu untuk menjadikan anak-anaknya seorang insan yang lebih baik daripada dirinya.

"Bukan ibu yang sempurna. Saya pernah remaja, saya pernah leka. Semuanya saya ceritakan pada anak-anak supaya jadi panduan untuk mereka.

"Saya asuh mereka dari kecik sebab saya nak mereka jadi lebih baik dari saya. Saya tegas kerana saya taknak mereka rasa rugi di hari tua andai umur panjang.

"Saya tak gunakan kedudukan saya sebagai ibu tapi saya mengajar mereka hormat sesama manusia," tulisnya di Instagram (IG) miliknya.

Tambah Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar berkata walaupun dia memegang gelaran ibu namun dia tetap memohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan.

"Tak semestinya ibu tidak pernah buat silap kerana ibu jugak manusia biasa. Sapa ada buat salah kena minta maaf dari hati termasuk lah saya.

"Kalau saya ada silap saya akan mintak maaf dengan mereka kerana saya lah cermin untuk mereka. Saya taknak anak saya leka dengan dunia," tulis Rita.

Dalam pada itu, pelakon filem Mami Jarum mahu anak-anaknya menjadikan Al-Quran sebagai panduan supaya setiap perjalanan akan dipermudahkan.

BACA: Sejuk Mata Memandang Imam Kecil Rita Rudaini Ni…

"Biar Al-Quran jadi panduan hidup mereka supaya menerangi perjalanan dan dipermudahkan. Pengalaman dan kesilapan adalah pelajaran untuk kehidupan kita yang ke depan.

"Baik buruk saya dah lalui. Semua tu saya bekalkan pada mereka untuk dijadikan sempadan supaya mereka cepat matang dan boleh bezakan baik dan tidak.

"Perjalanan saya masih panjang untuk mendidik dua lelaki ini menjadi orang yang disegani kerana akhlaknya. Doakan saya dan saya jugak mendoakan kita semua ditemani anak-anak yang soleh dan solehah hingga hujung nyawa," tulisnya lagi.

Terdahulu, perkongsian Rita mengenai Rayyan menjadi imam ketika solat sunat Aidilfitri telah mendapat tumpuan warganet di laman sosial.