BERITA

Rizalman Ibrahim Salur Dana RM1.2 juta Bina Surau, Laksana Amanah Penderma

Maliah Surip 24/02/2025 | 13:50 MYT
Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) terus giat memperkasa pembangunan agama dalam negara dengan menyalurkan bantuan dan dana kepada golongan yang memerlukan.
Sejak Yayasan RI ditubuhkan, pengasasnya, Datuk Rizalman Ibrahim bersama pasukannya menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti golongan sasar.
Sudah terlalu banyak kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah dilakukan Yayasan RI.
Terbaharu, Yayasan RI menyalurkan dana sebanyak RM1.2 juga bagi merealisasikan hasrat dan keinginan penduduk di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, Butterworth, memiliki sebuah surau untuk kegunaan penduduk.
Rizalman yang pernah menempa kemasyhuran sebagai pereka fesyen tersohor negara berkata, persetujuan Yayasan RI untuk membiayai pembinaan Surau Ar Rijal bertitik tolak pada matlamat yayasan itu memperkasakan ideologi dan semangat masyarakat Islam.
Jelas Rizalman, Yayasan RI juga sentiasa ke hadapan untuk menghulur bantuan kepada khalayak yang memerlukan dalam kerja-kerja pembangunan Islam.
Kata Rizalman, dorongan Yayasan RI untuk membiayai pembinaan surau berkenaan juga sebagai kesinambungan pada kerja-kerja kebajikan hasil sumbangan orang ramai ke tabung yayasan.
“Alhamdulillah, saya hanya melaksanakan amanah para penderma dengan memanjangkan rezeki mereka membiayai pembinaan surau ini.
“Semoga Surau Ar Rijal ini akan memberi manfaat yang besar kepada jemaah-jemaah di sini,” kata Rizalman semasa berucap pada majlis penyampaian replika cek RM1.2 juta kepada Pengerusi Surau Ar Rijal, Saifulbahri Pabillah.
Surau Ar Rijal yang dibina setinggi dua tingkat itu boleh menampung 380 jemaah pada satu-satu masa dijangka siap dibina menjelang November depan.
Sementara itu, Saifullah berkata, seluruh jemaah di Taman Merbau Jaya, sangat bersyukur dengan sumbangan besar Rizalman melalui Yayasan RI bagi menampung pembinaan surau di taman perumahan berkenaan.
Katanya, sebelum ini, pelbagai usaha dilakukan penduduk di kawasan berkenaan bagi mendapatkan dana dan hanya mampu mengutip sekitar RM200,000 pada 2023.
Ketika bergelut berhadapan cabaran bagi mendapatkan dana yang mencukupi, hasrat penduduk di taman perumahan itu mendapat perhatian Yayasan RI.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa bersyukurnya kami apabila Yayasan RI bersetuju untuk membantu kami membiayai pembinaan Surau Ar Rijal. Ia memberi makna yang cukup besar buat kami di Taman Merbau Jaya,” kata Saifulbahri.
Hadir sama pada majlis penyerahan replika cek itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rizalman Ibrahim Group of Companies dan pemegang amanah Yayasan RI, Faizul Surani; Ketua Pegawai Operasi Yayasan RI, Farhana Mizei dan Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan.
Kata Saifulbahri, surau berkenaan amat diperlukan di Taman Merbau Jaya untuk memudahkan penduduk melaksanakan solat secara berjemaah.
Bahkan, dalam masa-sama tertentu khususnya ketika berlaku kematian, surau sedemikian juga diperlukan bagi pengurusan jenazah selain akan dijadikan pusat menimba ilmu seperti yang disarankan oleh Yayasan RI.
“Kami akan memanfaatkan sebaik-baiknya surau ini untuk pembangunan umat Islam di Taman Merbau Jaya dan jemaah-jemaah di sekirarnya,” jelas Saifulbahri lagi.
Sementara itu, Jailani pula berkata, apabila siap dibina kelak, Surau Ar Rijal akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada jemaah di Taman Merbau Jaya melaksanakan ibadah.
“Kami akan membantu pentadbiran Surau Ar Rijal kelak dalam kerja-kerja mengimarahkan Surau Ar Rijal apabila ia siap kelak. Sebolehnya, kita mahu di surau ini, boleh dilaksanakan segala aktiviti untuk semua lapisan jemaah,” ujar Jailani.
#Rizalman Ibrahim #Bantuan #Agama #Surau #Yayasan Rizalman