Berita
Rizalman Mahu Tubuhkan Pusat Pengajian Al-Quran Untuk Orang Dewasa
Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim merancang untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian al-Quran.
Menurut Rizalman, ia merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan selari dengan penubuhan Yayasan RI yang akan dibangunkan kelak.
"Anda tahu kan saya dalam proses nak tubuhkan Yayasan RI. Jadi, antara niat saya ialah menubuhkan pusat pengajian al-Quran untuk golongan orang-orang dewasa.
"Siapa yang tak sempat belajar mengaji dengan betul, yang nak belajar dan memperbetulkan bacaan mereka," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Katanya lagi, pusat pengajian itu juga dirancang untuk dibangunkan di Johor sebagai cawangan pertamanya.
"Saya akan gajikan para ustaz dan ustazah, cari tempat, belikan kelengkapan serta berikan wakaf mushaf Amazing tu di situ dan akan bertempat di Johor Bahru sebagai negeri pertama," katanya.
Buat masa ini, jelas Rizalman, syarikatnya, Rinetwork akan membiayai sepenuhnya pusat pengajian tersebut sendiri sementara menunggu kelulusan penubuhan yayasannya itu.
Di ruangan komen, rata-rata pengikutnya menyambut baik berita penubuhan pusat pengajian tersebut.
"Terbaik Datuk! Alhamdulillah.
"Alhamdulillah, bersyukur kerana Johor terpilih sebagai lokasi pertama usaha murni Datuk.
"Insya-Allah Datuk, semoga usaha ini semua menjadi salah satu perkara yang Allah kurniakan rahmat untuk masuk ke syurga," tulis sebahagian komen.