HIBURAN
Rizman Ruzaini Fokus Fesyen, Tak Terfikir Nak Jadi Penyanyi - “Biarlah Saya Pakaikan Busana Sahaja”
Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini, menegaskan mereka tidak pernah terlintas untuk menceburi bidang nyanyian, walaupun jenama mereka sering dikaitkan dengan busana eksklusif untuk selebriti.
Menurut Rizman, mereka lebih selesa untuk terus menumpukan perhatian kepada dunia fesyen dan menyerahkan urusan nyanyian kepada penyanyi profesional.
"Saya tak pernah terfikir ke arah itu pun. Biarlah saya pakaikan busana kepada selebriti untuk lagu-lagu raya sahaja. Bab menyanyi, biarlah orang lain yang buat.
"Saya rasa tanggungjawab jenama Rizman Ruzaini sangat besar sebenarnya. Ramai pelapis baharu di luar sana menjadikan jenama kami sebagai inspirasi. Jadi, ini adalah satu amanah yang perlu kami galas dengan betul supaya boleh menjadi contoh yang baik dalam industri fesyen," kata Rizman ketika ditemui Gempak di majlis pelancaran Pop Up Store Raya RR di IOI City Mall, Putrajaya, pada Sabtu petang.
20 Tahun Dalam Industri, Lebih Matang Dalam Keputusan
Genap dua dekad berkecimpung dalam dunia fesyen, Ruzaini turut berkongsi bahawa mereka sentiasa berusaha untuk berkembang dan mencipta sesuatu yang baharu buat peminat fesyen.
Katanya, setiap keputusan yang dibuat bukan sekadar langkah biasa, tetapi satu permulaan yang boleh menentukan hala tuju jenama mereka.
Oleh itu, mereka sangat berhati-hati dalam setiap strategi yang dirancang kerana sebarang kesilapan boleh memberi kesan jangka panjang dan membawa penyesalan di kemudian hari.
"Tahun ini genap 20 tahun kami dalam dunia fesyen. Setiap pergerakan dan tindak balas Rizman Ruzaini merupakan satu permulaan baharu buat kami. Kalau tersilap langkah, ia boleh membuatkan kami menyesal di kemudian hari. Jadi, kami sangat teliti dalam merancang masa depan jenama ini," jelas Ruzaini.
Dalam masa yang sama, Rizman turut menekankan kepentingan merancang strategi perniagaan dengan lebih bijak untuk memastikan jenama mereka terus relevan dan berkembang, terutama dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.
"Kalau kita tengok ekonomi sekarang pun bukanlah dalam keadaan terbaik untuk bereksperimen. Sudah semestinya, kami perlu lebih berhati-hati dalam mengembangkan perniagaan.
"Tapi, pada akhirnya, kami tahu ramai peminat jenama kami sentiasa menantikan rekaan baharu. Jadi, kami akan terus berkarya untuk mereka," ujar Rizman lagi.
Jenama Rizman Ruzaini terus menjadi pilihan selebriti tempatan dan antarabangsa, membuktikan mereka kekal relevan dalam dunia fesyen selepas dua dekad berkarya.