Pelakon Zarina Zainuddin menyatakan dia sudah menyekat kad bank yang digunakan anak bongsunya, Adam, 15, untuk membeli tiga permainan video dalam talian.

Zarina, 51, sebelum ini berkongsi video kekesalan Adam selepas membelanjakan lebih RM10,000 wang dalam akaun tersebut dan kini hanya berbaki RM3.

"Menggigil satu badan apabila dapat tahu wang itu 'lesap'.

"Adam mengaku dia membeli tiga permainan video dalam talian yang setiap satunya berharga RM3,000 hingga RM5,000.

"Selepas insiden, kad bank itu sudah disekat dan saya ambil balik untuk disimpan," katanya ketika dihubungi Gempak.

Selain itu, menurut pelakon berbakat besar ini, tindakan dirinya memadam video itu bukan disebabkan kecaman netizen tetapi patuh dengan permintaan suaminya.

Tegasnya, dia tidak peduli dengan kata-kata netizen kerana perkongsian itu dibuat untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa yang lain.

"Suami saya yang suruh padam video itu bukan sebab netizen. Saya tak takut dengan mereka (netizen). Saya cakap yang benar.. bukan saja-saja nak post.

"Saya kongsi itu untuk awareness orang kat luar sana. Sekarang ini ramai terlepas pandang terhadap hobi anak yang suka bermain game berbayar.

"Anak-anak kita ni mereka cekap dan pandai dalam bidang teknologi. Adam beli dengan menggunakan kad pun saya tak perasan," katanya.

Tambah usahawan pulut kuning lagi, kad itu diberi hanya untuk kegunaan membeli data internet dan makanan dalam talian.

"Selama ini, saya beri dia kad bank untuk mudahkan dia beli makanan dari Grab Food dan data internet terutamanya sewaktu saya pergi shooting. Itu sahaja.

"Saya tak sangka langsung dia akan beli game sebab laptop yang digunakan itu dijanjikan hanya diguna pakai untuk belajar online. Tak sangka pula lain yang jadi," katanya lagi.

Terdahulu, Zarina memuat naik rakaman video di Instagram (IG) yang memperlihatkan Adam mengaku kesilapannya dan berasa kesal dengan tindakan yang telah dilakukan.

Bagaimanapun, video itu telah mendapat kecaman netizen kerana didakwa boleh menjatuhkan air muka Adam serta membuka aib.