HIBURAN
RM70,000 Lesap, Ridzokumura Kecewa Duit Arwah Isteri Hilang - “Sampai Hati Duit Orang Meninggal Pun Nak Ambil”
Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridzokumura, meluahkan rasa terkilan selepas menyedari sejumlah wang dianggarkan RM60,000 hingga RM70,000 milik arwah isterinya hilang.
Bukan orang luar
Ridzokumura, 50, mendakwa, dia menyedari kehilangan wang itu baru-baru ini dan mengesyaki ia diambil oleh individu dalam kalangan yang pernah berada di rumahnya.“Sampai hati, duit orang meninggal pun nak ambil.
“Bukan orang luar, tetapi orang sekeliling saya sebab yang datang pun kawan-kawan, polis, doktor, forensik dan sebagainya,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok miliknya.
Sebelum ini, Allahyarham isterinya, Akiko Okumura meninggal dunia pada 28 Februari lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya.
Ridzokumura percaya arwah mungkin tergelincir dari tingkap ketika mengemas rumah, satu kebiasaan yang sering dilakukan menjelang bulan Ramadan.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak
Dalam pada itu, Ridzokumura berkata, dia enggan menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak secara langsung berhubung kejadian itu.
“Saya tak salahkan sesiapa, salah saya sebab tak simpan duit itu. Orang yang ambil itu memang salah...salah dia dekat arwah dan Tuhan.
“Tak elok ambil duit orang yang dah pergi, terkilan saya. Biarlah orang itu jawab dengan Tuhan...kalau arwah tak maafkan, tak maaf lah dia,” ujarnya.
Wang lebihan simpanan
Menurutnya, wang tersebut merupakan lebihan simpanan selepas mereka pulang dari Jepun sekitar Februari lalu dan disimpan dalam dua sampul tebal di dalam beg isterinya.
“Selepas daripada itu, memang saya tak usik duit itu. Dua tiga hari lepas baru saya sedar.
"Duit bukan sikit, saya anggarkan dalam RM60,000 ke RM70,000. Itu apa yang saya nampak," katanya.
Tambah Ridzokumura, dia juga tidak pasti sama ada aksesori atau barang perhiasan lain turut hilang.
Jelasnya, kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya mengalami kerosakan, menyebabkan individu yang mengambil wang itu gagal dikenal pasti.
Sumber: Sinar Harian