Robinson Co. (Malaya) Sdn Bhd akan menutup dua gedung beli-belah yang terletak di The Gardens Mall dan The Shoppes di Four Seasons Place.

Gedung serbaneka itu juga sudah memulakan proses pembubaran berikutan ketidakmampuannya untuk meneruskan operasi kerana permintaan yang lemah.

Robinsons, antara pengusaha gedung serbaneka di seluruh dunia terus mengalami kesan pandemik COVID-19, terutamanya dari segi jualan gedung berbanding jualan dalam talian.

Pengurus Besar Kanan Robinsons, Danny Lim berkata perubahan landskap pengguna menyukarkan syarikat untuk berjaya dalam tempoh jangka panjang dan ditambah pula dengan pandemik yang memburukkan lagi keadaan.

Pengusaha gedung beli-belah itu mengakui permintaan untuk konsep gedung serbaneka telah menyusut dengan ketara dengan laporan menunjukkan kemerosotan dalam jualan runcit, mencatatkan kadar pertumbuhan negatif 8.5 peratus di Malaysia untuk suku pertama 2020 berbanding tempoh yang sama setahun lepas.

Pada masa sama, gedung Robinsons di Singapura turut mengalami proses pembubaran yang serupa dengan pelantikan Cameron Duncan dan David Kim dari KordaMentha sebagai penyelesai sementara.

Sementara itu, tertakluk kepada pengesahan, penyelesai yang dilantik berharap gedung-gedung ini akan tetap dibuka pada minggu-minggu mendatang bagi memudahkan penjualan akhir sebelum ditutup.


Sumber: Astro Awani