Berita
Robozeta, Animasi Konsep Mecha Robot Pertama Di Malaysia, Memang Padu!
Dunia animasi tempatan sememangnya semakin berkembang dan mendapat respons positif dan permintaan baik dalam kalangan penonton.
Bahkan, banyak juga produk animasi di negara kita yang mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Terbaharu, sebuah lagi produk animasi 3D tempatan, Red Circle Studio Sdn Bhd, menghasilkan siri animasi adiwira berkonsepkan Mecha Robot yang pertama seumpamanya di Malaysia dikenali sebagai Robozeta.
Pengarah Red Circle Studio, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, konsep Mecha Robot itu mendapat inspirasi daripada siri adiwira Super Sentai.
“Jika di Jepun dan Eropah, Mecha Robot adalah sesuatu yang biasa, tapi di Malaysia ia belum begitu popular. Untuk itu kami mengambil pendekatan untuk lebih mendekati golongan yang meminati Anime Jepun di tanah air yang semakin ramai ketika ini.
"Malah rupa robot kami juga lebih cenderung kepada robot Jepun. Kami berharap ia cara terbaik untuk mendekati dan memperkenalkan konsep ini di Malaysia,” katanya.
Jelasnya lagi, beberapa halangan besar perlu ditempuh bersama rakan sekerjanya untuk menyiapkan Robozeta sejak setahun lalu, termasuk kekangan kewangan, tempoh masa yang singkat selain tenaga kerja yang kurang.
“Biasanya syarikat animasi lain akan menggunakan 20 hingga 50 tenaga kerja, malah ada yang mampu menggaji lebih 100 tenaga mahir.
"Sebaliknya kami di Red Circle hanya ada 10 orang. Dana kewangan yang disalurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM500,000 juga agak kecil untuk projek sedemikian, memaksa kami merancang kewangan dengan ketat selain mencari sumber kewangan lain.
“Beban tugas kami yang tidak setimpal dengan jumlah tenaga kerja diburukkan lagi oleh kekangan kewangan yang meruncing. Bajet yang ketat ini menyebabkan kami tidak punya banyak pilihan untuk menggunakan hardware yang lebih baik untuk menyiapkan projek ini.
"Pendek kata kami hanya menggunakan apa yang ada. dengan apa yang kami mampu untuk menghasilkan produk dengan kualiti yang paling munasabah untuk siaran televisyen,” tambahnya.
Biarpun Robozeta disiapkan dalam keadaan serba kekurangan, kualiti, pengisian dan keunikan produk animasi yang begitu menonjol ini berjaya menawan hati beberapa syarikat TV tempatan dan syarikat pengedar dari dalam dan luar negara.
Buktinya kini, animasi Robozeta yang mempunyai 13 episod itu mula ditayangkan di saluran Astro Ceria dan bakal dipasarkan ke stesen TV antarabangsa dalam masa yang terdekat.
Animasi 3D Robozeta berkisar mengenai sekumpulan lima adiwira dikenali sebagai Rico, Jango, Bepop, Rexx dan Ely.
Lima sekawan ini membentuk sebuah pasukan untuk melindungi keamanan di Bandar Zetania dan sebuah chip (ZenoChip) daripada ancaman bahaya Geng Kalabera yang dianggotai Mojo dan konconya Mera dan Gongoro.
Agenda utama mereka adalah untuk mengacau-bilaukan Zetania dan mengalahkan Robozeta bagi mendapatkan ZenoChip yang memiliki kuasa hebat. Jika disalahgunakan, ia bakal mengundang bencana.
Jadi, jangan lupa untuk tonton Robozeta pada 19 Disember 2020, jam 4.30 petang di Astro Ceria. Penonton juga boleh mendapatkan informasi mengenai Robozeta di Facebook, Instagram dan YouTube.