Pelakon Iqbaal Ramadhan, 24, mendedahkan bahawa Mencuri Raden Saleh merupakan filem bergenre aksi pertama yang dilakonkan sepanjang bergelar aktor di Indonesia.

Jelas Iqbaal, sebagai seorang pelakon, dia sentiasa mencabar dirinya untuk berlakon dalam pelbagai genre filem mahupun drama.

“Sebagai pelakon sudah pasti saya mahukan kelainan dalam setiap lakonan yang saya tampilkan kerana saya akan sentiasa mencabar diri saya untuk memegang pelbagai watak dan genre dalam filem ataupun sinetron (drama).

“Begitu juga dalam Mencuri Raden Saleh, filem ini berkonsep aksi, sangat berbeza dengan filem yang sebelum ini saya lakonkan banyak kepada genre romantik dan cinta.

“Mencuri Raden Saleh sangat-sangat berbeza, malah ini merupakan filem aksi pertama saya,” ujarnya kepada Gempak.

Iqbaal berkata demikian ketika sesi temubual khas secara atas talian bersama barisan pelakon dan penerbit filem tersebut minggu lalu.

Pelakon yang mendapat julukan The Romantic Guy itu berkata, di dalam filem Mencuri Raden Saleh penonton bakal melihat sisi lainnya sebagai seorang pelakon.

Malah, Iqbaal turut berasa syukur kerana diberikan peluang untuk membintangi filem berkenaan.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi salah seorang pelakon dalam filem ini dan berharap peminat saya dapat menerima sisi lain saya dalam filem ini, kerana asyik dilabelkan sebagai romantic guy disebabkan banyak berlakon filem romantik.

“Harapnya ini sesuatu yang fresh daripada saya yang mampu saya tonjolkan sebagai seorang aktor.

“Saya bangga dengan hasil lakonan saya sendiri, kerana saya sudah berikan semua yang saya ada untuk memastikan diri sendiri puas dan harapnya penonton juga akan puas bila menonton nanti,” tambahnya.

Sinopsis

Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.

Saksikan Mencuri Raden Saleh bermula 22 September ini di seluruh pawagam Malaysia dan turut mengikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.