Laman Utama
Rossa Hasilkan Lagu Hati Yang Kau Sakiti Dalam Bahasa Korea
Penyanyi popular Indonesia, Rossa kini tampil dengan lagu Bahasa Korea berjudul Sangcheo Badeun Maeum.
Lagu tersebut adalah rakaman semula untuk single hitnya, Hati Yang Kau Sakiti dan dinyanyikan sepenuhnya dalam Bahasa Korea.
Lebih mengujakan, lagu Sangcheo Badeun Maeum ini juga telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari para peminat, malah ramai juga yang telah merakamkan versi 'cover' di laman sosial.
Menurut Rossa, idea untuk menghasilkan Hati Yang Kau Sakiti dalam Bahasa Korea mula tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di mana orang ramai hanya duduk di rumah untuk mencegah penularan wabak COVID-19 baru-baru ini.
"Ketika tempoh bermulanya waktu bekerja dari rumah, saya banyak menonton drama Korea, salah satunya The World of The Married.
"Ia mengingatkan saya tentang lagu Hati Yang Kau Sakiti, saya sangat sukakan drama tersebut, dari situlah idea untuk menghasilkan lagu ini mula tercetus," katanya.
Rossa berkata demikian dalam sidang media yang diadakan secara virtual dari Indonesia sempena pelancaran lagu Sangcheo Badeun Maeum petang tadi.
Tambah Rossa, dia telah mendapatkan bantuan seorang rakan yang tinggal di Seoul, Korea untuk menterjemahkan lirik Hati Yang Kau Sakiti ke dalam Bahasa Korea.
"Untuk lirik lagu ini, saya meminta bantuan seorang rakan yang tinggal di Seoul untuk menterjemahkan ke dalam Bahasa Korea.
"Pada mulanya, memang mencabar untuk saya menguasai sebutan dengan baik, tetapi setelah berusaha keras, Alhamdulillah ia berjaya dihasilkan," katanya lagi.
Sangcheo Badeun Maeum kini boleh didapati di kesemua platform muzik digital.
Sekadar info, lagu Hati Yang Kau Sakiti mula dilancarkan pada tahun 2009, sehingga kini ia masih digemari oleh para peminat di Indonesia, mahupun di negara-negara jiran.
Must-Watch Video