HIBURAN
Rossa Nafi Berlebihan Di Pentas Bersama Jackson Wang - “Itu Hanya Untuk…”
Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa menafikan dakwaan dia bertindak berlebihan ketika mengadakan persembahan bersama penyanyi Korea, Jackson Wang di Indonesian Idol baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu, apa yang berlaku di atas pentas hanyalah sebahagian daripada penghayatan persembahan semata-mata.
“Yang pasti itu fitnah (berseloroh), komen itukan datang daripada ramai orang kalau di Indonesia sendiri mereka sudah terbiasa melihat saya menyanyi sebegitu. Kebetulan kawan-kawan saya cukup banyak daripada Korea.
“Itu hanya untuk penghayatan ketika melakukan persembahan tidak mungkin kami menyanyi berasingan, jadi jika ada yang berkata saya berlebihan itu pastinya dia yang mahukan sebenarnya.
“Jadi setiap kali mereka ini datang ke Indonesia sudah pasti mereka akan mencari saya. Di sana saya sudah dianggap seperti duta persahabatan,” katanya.
Pada masa yang sama, Rossa atau nama lengkapnya Rossa Roslaina Sri Handayani juga menjelaskan setiap pergerakan di atas pentas telah dirancang lebih awal.
Namun jelasnya, perubahan spontan tetap boleh berlaku semasa persembahan berlangsung.
“Memang daripada awal sebenarnya sudah ada beberapa pergerakkan yang sudah disiapkan cuma bila di atas pentas ada beberapa perkara yang memberi kejutan kepada saya, tapi kerana kami hanya berkawan maka perkara itu mungkin hanya biasa-biasa sahaja,”
“Kalau di atas pentas itukan sudah dianggap seperti satu lakonan dalam filem, bergantung kepada lagu dan jalan penceritaannya bagaimana, jadi sebagai penyanyi kita akan mengikutinya,” ujar Rossa.
Rossa ditemui media ketika menghadiri sidang media konsert Rossa Here I Am dan Iftar Prihatin di Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Rossa turut memuji peribadi Jackson yang handal dalam tarian dan nyanyian.
"Jackson seorang penyanyi yang sangat 'energetic', dia juga penari yang sangat bagus. Dia juga sangat terkenal. Jadi apabila diajak berduet dan menyanyi bersama, saya terbuka," ungkapnya lagi.
Terdahulu, Rossa dan Jackson selaku juri jemputan membuat persembahan di program Indonesia Idol menerusi lagu Tega.
Bagaimanapun beberapa aksi mesra seperti merangkul pinggang dan berpegang tangan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.
Dalam perkembangan terkini, Rossa akan mengadakan konsert berskala besar iaitu ‘Here I Am’ yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Lebih teruja, konsert itu turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah dan beberapa penyanyi tempatan seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique.
Must-Watch Video