Roti Telur Move On Ude Tuju Pada Siapa?

Amri Hassan
April 6, 2018 10:05 MYT
Keputusan untuk mengaktifkan semula akaun media sosial masing-masing membuktikan Ude Wahid dan isteri barunya, pelakon Izreen Azminda benar-benar berani untuk berdepan khalayak.
Walaupun masih menutup ruangan komen, baik Ude mahupun Izreen, pasangan itu meneruskan kehidupan dan kerjaya masing-masing dengan kemas kini entri di Instagram.
Terbaharu, Ude memuat naik sekeping foto sarapan roti telur yang disediakan Izreen dengan kapsyen 'move on'.
"Nyum... Terima kasih Izreen Azminda. Punya sedap sampai tak boleh move on. Kata roti telur move on... Eh! Berapa banyak move on da," tulis Ude.
Walaupun entri berkenaan tidak ditujukan kepada sesiapa, Ude yang sebelum ini memberikan kenyataan sudah 'move on' kembali menyentuh perkara tersebut.
Bekas isterinya juga, Intan Liana Salleh telah beberapa kali membuat kenyataan telah 'move on' dan meneruskan kehidupan sendiri.
Netizen bagaimanapun singgah ke akaun Instagram Intan dan meninggalkan pandangan masing-masing.
"Cantik sangat. Kalau nak lagi cantik Intan jangan makan roti telur benyet tau," tulis @zalinaudin.
"Move on bonda move on! Ada orang meroyan dah tu," tambah @makcikninie.
Intan dan Ude telah sah bercerai pada 22 Mac lalu setelah mendirikan rumah tangga sejak Mac 2003.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 1.
Pada November 2017, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan dirahsiakan atas permintaan Ude.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @udewahid
#Izreen Azminda #Intan Liana #Ude Wahid